DUNIA > BERITA

KEMAS KINI PERISIAN PULIHKAN AKSES X UNTUK RAMAI PENGGUNA DI BRAZIL

19/09/2024 06:12 PM

ISTANBUL, 19 Sept (Bernama-Anadolu) -- Platform media sosial X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, kembali boleh diakses oleh ramai pengguna di Brazil pada Rabu selepas kemas kini rangkaian komunikasi berjaya mengelakkan sekatan yang dikenakan oleh Mahkamah Agung Brazil, lapor Agensi Anadolu yang memetik Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Brazil (Abrint).

Kemas kini pada X menggunakan perkhidmatan awan pihak ketiga, khususnya daripada firma keselamatan Cloudflare.

Ini membolehkan sesetengah pengguna di Brazil mengakses X melalui laluan alternatif di luar negara walaupun tanpa menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN), menurut Abrint.

Jurucakap X dalam satu kenyataan lewat Rabu berkata pemulihan platform di Brazil berlaku secara tidak sengaja.

"Untuk terus menyediakan perkhidmatan yang optimum kepada pengguna kami, kami telah menukar penyedia rangkaian. Pertukaran ini secara tidak sengaja dan sementara memulihkan perkhidmatan kepada pengguna di Brazil."

Walaupun kami menjangkakan platform akan tidak boleh diakses semula dalam masa terdekat, kami akan terus berusaha bekerjasama dengan Kerajaan Brazil untuk kembali dalam masa terdekat bagi rakyat Brazil," katanya.

Mahkamah Agung Brazil bulan lepas mengarahkan larangan terhadap platform popular itu di peringkat domestik berikutan pertikaian mengenai kebebasan bersuara dan maklumat palsu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan