DUNIA > BERITA

MALAM PERSAHABATAN UKRAINE-MALAYSIA 2024 PERKUKUH PERTUKARAN BUDAYA DAN DIPLOMASI

21/09/2024 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Malam Persahabatan Ukraine-Malaysia 2024 yang diadakan baru-baru ini menandakan satu detik penting dalam memupuk pertukaran budaya dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Ukraine dan Malaysia.

Acara dua hari ini dianjurkan oleh Kedutaan Ukraine di Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC).

Sambutan istimewa ini bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Ukraine dan Hari Malaysia.

Menurut kenyataan Kedutaan Ukraine, acara itu bukan sahaja mempamerkan kekayaan warisan budaya dari kedua-dua negara, malah mengukuhkan persahabatan dan kerjasama yang semakin berkembang antara Ukraine dan Malaysia.

"Melalui beberapa siri persembahan yang menarik, ucapan dan paparan artistik, Malam Persahabatan Ukraine-Malaysia 2024 berjaya memperdalam persefahaman bersama serta mempromosikan diplomasi budaya antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

Siri video promosi yang ditayangkan turut menonjolkan budaya, ketahanan, dan keindahan semula jadi Ukraine, yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Acara dimulakan dengan tarian tradisional Malaysia oleh ARTISTANA Istana Budaya, melambangkan keramahan Malaysia.

Selepas lagu kebangsaan Ukraine dan Malaysia dimainkan, tetamu kehormat menyampaikan ucapan termasuk William Leong Jee Keen, Pengerusi Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia-Ukraine, serta Denys Mykhailiuk, Kuasa Usaha Kedutaan Ukraine di Malaysia.

Antara acara kemuncak pada malam itu ialah persembahan khas 'Bandura' oleh Larissa Kovalchuk, seorang artis terkenal antarabangsa.

Persembahannya yang memukau dengan lagu-lagu tradisional Ukraine, diiringi oleh kumpulan Malaysia Virtuoso Masters, menarik perhatian penonton.

Bandura, alat muzik kebangsaan Ukraine, berasal dari abad keenam dan berkembang menjadi alat muzik konsert kromatik dengan 65 tali.

Selain itu, pertunjukan fesyen Batik dan Vyshyvanka yang dipersembahkan oleh pelajar dan pereka dari City University Malaysia turut mempamerkan seni budaya Malaysia dan keanggunan pakaian tradisional. Kedua-dua segmen ini mendapat tepukan gemuruh, mencerminkan gabungan harmoni antara budaya Malaysia dan Ukraine.

Malam itu diserikan lagi dengan persembahan muzik dari Orkestra Tradisional Malaysia, Istana Budaya yang menampilkan alat muzik tradisional Malaysia yang unik seperti rebana, gambus, sitar dan sape.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan