DUNIA > BERITA

MAN CITY MUNGKIN KEHILANGAN RODRI MUSIM INI AKIBAT KECEDERAAN LUTUT

24/09/2024 10:02 PM

LONDON, 24 Sept (Bernama-Xinhua) -- Manchester City berkemungkinan besar akan kehilangan pemain tengah antarabangsa Sepanyol, Rodri, untuk sepanjang musim ini selepas dia mengalami kecederaan lutut dalam perlawanan seri 2-2 di tempat sendiri menentang Arsenal pada Ahad, lapor Xinhua.

Walaupun Rodri akan menjalani ujian lanjut pada lutut kanannya, laporan awal menunjukkan kerosakan pada ligamen anterior cruciate (ACL). Jika disahkan, ini akan memerlukan pembedahan, yang boleh menyebabkan beliau berehat selama kira-kira sembilan bulan.

Ini merupakan tamparan hebat kepada City dan jurulatih Pep Guardiola, yang pernah menyifatkan Rodri sebagai pemain "tidak boleh diganti" pada Mac lepas. Masalah ini menjadi lebih rumit kerana selain daripada Mateo Kovacic, kelab tersebut tidak mempunyai pengganti.

Kepentingan Rodri kepada Manchester City sangat jelas apabila dia digantung untuk tiga perlawanan tahun lepas dan City tewas dalam kesemua perlawanan itu. Satu-satunya perlawanan yang mereka tewas dalam masa 90 minit ketika dia bermain musim lalu adalah final Piala FA menentang Manchester United.

Statistik Opta menunjukkan bahawa apabila Rodri bermain, Manchester City mengumpul purata 2.36 mata setiap perlawanan, tetapi purata itu menurun kepada 2.04 tanpanya. Ini bersamaan dengan perbezaan 11 mata sepanjang musim dengan atau tanpa beliau.

Statistik lain turut menunjukkan betapa pentingnya Rodri, namun dia berada di belakang pemain Declan Rice dari Arsenal yang lebih banyak memenangi bola. Rodri juga melengkapkan 2,000 hantaran lebih banyak daripada mana-mana pemain lain dalam Liga Perdana Inggeris sejak dia menyertai Manchester City pada Ogos 2019.

Kecederaan Rodri ini berlaku hanya beberapa hari selepas dia bercakap mengenai tuntutan tambahan dan kalendar perlawanan yang semakin padat untuk pemain bola sepak peringkat atasan. Walaupun dia mungkin lebih memikirkan tentang kelesuan otot, hakikat bahawa dia mungkin terpaksa berehat sehingga musim panas depan hanya menguatkan hujahnya.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan