DUNIA > BERITA

MALAYSIA GESA PBB WUJUDKAN SEMULA JAWATANKUASA ANTI-APARTHEID, MINTA KENAKAN SEKATAN SENJATA TERHADAP ISRAEL

29/09/2024 05:29 AM

Daripada Nabilah Saleh

NEW YORK, 28 Sept (Bernama) -- Malaysia menggesa supaya Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Apartheid diwujudkan semula dan menegaskan perlunya usaha baharu global untuk memerangi ketidakadilan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semasa menyampaikan kenyataan negara pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Sabtu, berkata masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas untuk menangani pelanggaran yang berterusan.

Beliau turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya menggunakan kuasa di bawah Bab 7 untuk mengenakan sekatan senjata segera terhadap Israel dan menekankan kepentingan menghentikan keganasan dan memastikan akauntabiliti atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Tindakan Israel,dengan setiap hari yang berlalu, menimbulkan keraguan sama ada ia percaya pada sistem PBB atau menghargai keahliannya dalam organisasi ini.

Pendudukan haramnya telah mewujudkan sistem apartheid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin. Rejim Israel sendiri telah mengisytiharkan niatnya untuk menghapuskan seluruh populasi. Ini adalah, tanpa persoalan, satu genosid.

“PBB tidak boleh berdiam diri. Kita mesti segera menggunakan proses sedia ada yang diasaskan oleh Perhimpunan Agung ini, bersama mekanisme yang dibangunkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Apartheid.

Menteri Luar itu juga menegaskan bahawa kuasa veto dalam Majlis Keselamatan perlu pembaharuan, terutamanya dalam kes-kes pelanggaran hak asasi manusia.

“Veto tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya. Perlu ada pengecualian dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan dan serangan ke atas infrastruktur awam.

“Kita mesti mengehadkan, atau menghapuskan veto sepenuhnya,” katanya dan turut menggesa Perhimpunan Agung mengambil tindakan di mana Majlis Keselamatan gagal berbuat demikian.

Mohamad menyatakan bahawa Malaysia - yang sekian lama menyokong Palestin - mengalu-alukan kemajuan yang dicapai tahun ini dengan 143 negara anggota meluaskan prinsip kesaksamaan PBB kepada Palestin.

“Ia memberi kami harapan untuk melihat Negara Palestin duduk bersama kami hari ini. Kami menggesa minoriti yang masih tinggal untuk menyertai majoriti,” katanya.

Menyeru penyelesaian diplomatik, Mohamad menegaskan sokongan Malaysia terhadap kenegaraan Palestin.

“Israel telah melanggar setiap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Genosid, Konvensyen Geneva dan teras Perjanjian Hak Asasi Manusia .

“Sudah tiba masanya untuk merealisasikan hak Palestin untuk kenegaraan dan keahlian penuh dalam Perhimpunan ini. Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan menuju penyelesaian berkekalan – bukan hukuman kolektif, kebuluran buatan manusia atau bebas daripada hukuman,” katanya.

Beliau turut merujuk penghinaan Israel baru-baru ini terhadap PBB dengan berkata, “Beberapa bulan lalu, kita menyaksikan Israel memperlekehkan badan ini, mengoyakkan Piagam PBB di dewan ini.”

“Walaupun segelintir kuasa besar mungkin berkelakuan seolah-olah kekuatan adalah kebenaran, suara majoriti tidak akan diabaikan,” katanya.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah  "Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang."

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan