DUNIA > BERITA

PERDANA MENTERI ANWAR LAKUKAN LAWATAN RASMI KE PAKISTAN UNTUK PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

30/09/2024 05:46 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Pakistan dari 2 hingga 4 Oktober ini, yang dijangka memperkukuh hubungan Malaysia-Pakistan menerusi perbincangan strategik bagi meningkatkan kerjasama dua hala.

Kementerian Luar Malaysia juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa lawatan itu adalah atas jemputan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang menandakan pertemuan rasmi pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Anwar menjawat jawatan itu pada November 2022.

Perdana Menteri Malaysia akan disambut dengan upacara sambutan rasmi, diikuti pertemuan dua hala dengan Shehbaz yang turut akan menghoskan  majlis makan tengah hari untuk Anwar.

“Pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua perdana menteri untuk menilai kerjasama sedia ada dan membincangkan inisiatif bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan susulan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik pada 2019.

Kedua-dua mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Kedua-dua perdana menteri akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dua dokumen antara Malaysia dan Pakistan.

Dokumen berkenaan ialah memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan, serta Surat Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (TPA).

Majlis itu akan diikuti dengan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada Bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke dalam Bahasa Melayu.

Wisma Putra berkata Anwar dijadual menyampaikan syarahan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) dan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada universiti berkenaan.

Semasa lawatan itu, Anwar juga akan melalukan kunjungan hormat ke atas  Presiden Pakistan Asif Ali Zardari sebelum menghadiri jamuan negara yang dianjurkan oleh presiden.

“Presiden dijangka turut menganugerahkan Anwar dengan anugerah tertinggi awam Pakistan, Nishan-e-Pakistan, semasa pertemuan mereka di Istana Presiden,” menurut Wisma Putra.

Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan semasa lawatan itu.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan berjumlah RM7.84 bilion (US$1.4 bilion), menyusut sebanyak 18 peratus berbanding RM7.89 bilion (US$1.78 bilion) pada tahun 2022.

Antara barangan yang didagangkan ialah minyak sawit, pakaian, tekstil, produk kimia dan berasaskan kimia, serta produk elektrik dan elektronik.

Pakistan merupakan rakan perdagangan ke-35 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-31 terbesar, dan sumber import ke-41 terbesar.

Dalam kalangan negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia.

Malaysia pula adalah rakan dagangan ke-14 terbesar dan destinasi eksport ke-14 terbesar Pakistan, serta sumber import ke-15 terbesar.

Sehingga Jun 2024, terdapat 4,666 pelajar Pakistan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan