DUNIA > BERITA

SUBSIDIARI SIEMENS ENERGY BAYAR LEBIH US$100 JUTA SELESAIKAN KES MAHKAMAH AS

01/10/2024 07:40 PM

WASHINGTON, 1 Okt (Bernama-dpa) -- Subsidiari Amerika Syarikat milik kumpulan kejuruteraan tenaga Jerman, Siemens Energy, bersetuju untuk membayar US$104 juta bagi menamatkan siasatan terhadap penipuan dalam bidaan kontrak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kes ini bermula pada 2019, ketika anak syarikat Siemens Amerika membida pesanan turbin daripada Dominion, pembekal tenaga di Virginia. General Electric dan Mitsubishi Heavy Industries juga turut bersaing.

Menurut dokumen mahkamah yang diterbitkan pada Isnin, bekas pekerja subsidiari AS itu memperoleh maklumat daripada seorang pekerja Dominion mengenai tawaran daripada pesaing. Siemens menggunakan maklumat itu sebagai panduan untuk membuat tawaran lebih baik dan berjaya memenangi kontrak berkenaan.

Walau bagaimanapun, Dominion membatalkan projek itu pada musim panas 2020. Dalam satu kenyataan kepada Agensi Berita Bloomberg, syarikat berkenaan berkata ia menemukan salah laku pekerjanya dan memaklumkan pesaing serta Dominion mengenai perkara itu.

Menurut perjanjian itu, subsidiari Siemens Energy akan membayar US$26 juta pada peringkat awal. Sejumlah US$52 juta lagi akan dibayar sebelum akhir Oktober 2025, manakala baki US$26 juta akan dibayar pada April 2026.

-- BERNAMA-dpa

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan