DUNIA > BERITA

INDONESIA SUARAKAN KEBIMBANGAN TERHADAP KRISIS TIMUR TENGAH YANG SEMAKIN TERUK

02/10/2024 01:42 PM

JAKARTA, 2 Okt (Bernama) -- Indonesia menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung situasi di Timur Tengah yang semakin teruk dan menggesa semua pihak untuk menahan diri.

Mengulangi kebimbangan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Indonesia menyatakan kebimbangan konflik itu boleh semakin memuncak, kata jurucakap Kementerian Luar Rolliansyah Soemirat.

"Indonesia mengulangi kepentingan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan situasi semasa dan membuat keputusan yang boleh membantu meredakan ketegangan di rantau itu," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Di tengah-tengah situasi yang semakin meruncing di Lubnan, keselamatan rakyat Indonesia tetap menjadi keutamaan, dengan kerajaan kini sedang melaksanakan proses evakuasi warganya.

"Semua kedutaan Indonesia di rantau itu terus menyelaras dan berkomunikasi dengan rakyat Indonesia di kawasan masing-masing," tambahnya.

Media tempatan melaporkan bahawa Pengarah Perlindungan Warga Negara di kementerian itu, Judha Nugraha menyatakan terdapat 159 warga Indonesia di Lubnan.

Jumlah itu tidak termasuk kakitangan dari Kedutaan Besar Indonesia dan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang merupakan sebahagian daripada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Serangan udara Israel di Lubnan baru-baru ini telah mengorbankan 55 nyawa dan mencederakan 156 orang, dengan serangan yang semakin intensif sejak 23 September di tengah-tengah peningkatan ketegangan dengan Hizbullah, dan berbalas serangan yang berterusan di sepanjang sempadan sejak 8 Oktober 2023, ketika konflik antara Hamas dan Israel berterusan di Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan