DUNIA > BERITA

TAUFAN KRATHON MENDARAT DI TAIWAN

03/10/2024 06:56 PM

TAIPEI, 3 Okt (Bernama-dpa) -- Taufan Krathon mendarat di selatan Taiwan pada Khamis dengan bergerak perlahan ke utara dan menyebabkan lebih banyak kecederaan akibat kemalangan yang disebabkan angin kencang dan hujan lebat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada 12.40 tengah hari (0440 GMT), ribut itu melanda Bandar Kaohsiung di selatan Taiwan, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).

"Amaran Angin Kencang Peringkat Kebangsaan" telah dikeluarkan untuk penduduk di Kaohsiung dan daerah Pingtung yang berdekatan menggesa mereka agar kekal di dalam rumah.

Pelabuhan Kaohsiung mencatatkan rekod tiupan angin selaju 63.1 meter sesaat (m/s), dengan ombak setinggi 8.4 meter menghempas benteng. Peralatan besar, termasuk pemunggah arang batu turut tumbang, lapor Nextapple News.

Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC) pada Khamis melaporkan bahawa angka kematian akibat taufan itu kekal dua, manakala seorang lagi di timur daerah Hualien masih hilang. Jumlah kecederaan pula meningkat kepada 219, berbanding 102 pada Rabu.

Rakaman televisyen menunjukkan banjir, pokok tumbang dan kenderaan yang remuk di Kaohsiung dengan penunggang motosikal tercampak oleh angin kencang.

Sebanyak 12,222 isi rumah di Kaohsiung mengalami gangguan bekalan air manakala 106,859 isi rumah di Kaohsiung dan Pingtung terputus bekalan elektrik.

CWA melaporkan hujan lebat dengan kawasan pergunungan di timur daerah Taitung mencatatkan jumlah hujan sebanyak 1,684 milimeter dalam tempoh lima hari.

Menurut CWA, cuaca dijangka terus terjejas sehingga Jumaat. Pegawai memberi amaran tentang kemungkinan banjir dan tanah runtuh.

Pegawai berkata 10,208 penduduk telah dipindahkan dari kawasan sering dilanda bencana di 14 daerah dan bandar.

-- BERNAMA-dpa

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan