DUNIA > BERITA

UBAH SUAI TANPA KEBENARAN DIKAITKAN DENGAN KEBAKARAN BAS SEKOLAH DI THAILAND

03/10/2024 10:01 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Darat Thailand mendedahkan bahawa pengendali bas sekolah yang terlibat dalam kemalangan maut baru-baru ini di Vibhavadi Rangsit Road didapati telah melakukan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

Ketua Pengarahnya Jirut Wisaljitr dalam satu kenyataan memaklumkan jabatan itu telah memanggil pengendali untuk membawa kesemua lima bas di bawah kawalannya bersama kenderaan yang berkaitan untuk pemeriksaan di Pejabat Pengangkutan Lopburi.

Namun, beliau berkata pengendali itu mempamerkan sifat mengelak dan gagal mematuhi arahan pemeriksaan dengan segera.

"Selepas menyiasat lokasi GPS bas, jabatan mendapati semua bas pengendali berada di sebuah kemudahan pembaikan persendirian di wilayah Nakhon Ratchasima.

"Didapati bas itu sedang dalam proses menanggalkan tangki gas yang melebihi spesifikasi yang didaftarkan dengan pihak berkuasa. Tingkah laku ini mencadangkan percubaan untuk menyembunyikan pengubahsuaian kenderaan yang tidak dibenarkan terutamanya kepada sistem gas yang boleh menimbulkan risiko keselamatan yang ketara," kata Jirut pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa pengubahsuaian sistem gas yang menyalahi undang-undang boleh menyebabkan bas terlebih muatan dan meningkatkan potensi kebocoran gas akibat pemasangan yang tidak betul, yang tidak diperiksa oleh jurutera bertauliah atau agensi yang diberi kuasa.

Jabatan Pengangkutan Darat telah mendokumentasikan insiden itu untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Jirut turut berkata bahawa jabatan itu akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua 13,426 bas awam dan swasta yang menggunakan bahan api gas asli termampat (CNG) dalam tempoh 60 hari akan datang bagi memastikan pematuhan keselamatan.

Pada Selasa, sebuah bas sekolah yang membawa 45 penumpang - enam guru dan 39 pelajar dari wilayah Uthai Thani - terbakar di Vibhavadi Rangsit Road. Malangnya, 20 pelajar dan tiga guru kehilangan nyawa dalam kemalangan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan