DUNIA > BERITA

ASEAN 2025: KESATUAN BERASASKAN ZON BEBAS, AMAN DAN BERKECUALI DIKEKALKAN - MOHAMAD

22/10/2024 07:40 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim & Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 akan memastikan kesatuan ASEAN yang  ditubuhkan pada 1967,  berteraskan zon bebas,  aman dan berkecuali dapat terus dikekalkan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan logo dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Wisma Putra di sini pada Selasa, beliau berkata kedaulatan blok serantau ini ialah sesuatu yang sangat kuat.  

“Banyak pihak yang iri hati dengan kami. Banyak usaha untuk melihat sama ada mereka boleh memecah-belahkan kami atau tidak. Jadi itu perkara yang perlu kita pertahankan, “ katanya.

Menurut Mohamad dalam masa yang sama Malaysia hendak memastikan kemampanan ASEAN menerusi pelancaran Komuniti ASEAN 2025-2045.

Beliau berkata tempoh selama 20 tahun diperlukan untuk membuat rangka  kerja yang bersepadu berasaskan kepada kesatuan negara-negara ASEAN dan bagaimana melonjakkan kemampanan blok ini dari segi ekonomi dan kepelbagaian terutama dalam zaman yang  penuh mencabar seperti perubahan iklim dan sebagainya.

Itu yang akan dilakukan Malaysia selepas mengambil alih kepengerusian ASEAN, katanya. 

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Penyelaras bagi Tonggak Ekonomi ASEAN); Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Penyelaras bagi Tonggak Sosiobudaya ASEAN) dan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Turut hadir adalah Pegawai Kanan Kerajaan, Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Malaysia serta wakil Pertubuhan Antarabangsa dan wakil media.

Semasa  sidang kemuncak ASEAN di Laos ada kesepakatan di antara negara anggota untuk meneraju ASEAN ke tahap lebih tinggi, kata Mohamad. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, beliau berkata perkara itu masih di peringkat Mesyuarat Pegawai Kanan dan belum lagi dijadikan sebagai agenda Mesyuarat ASEAN.

Beliau berkata usaha untuk menjadikan negara itu sebagai anggota penuh sedang dipercepat dan Malaysia mahu proses membabitkan dokumentasi untuk keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dipermudahkan.

“Timor-Leste telah pun menjadi sebagai negara pemerhati sudah beberapa tahun. Usaha untuk menjadikan Timor-Leste ini sebagai ahli penuh ASEAN memang sedang dilakukan.

Banyaklah dia punya dokumentasi yang perlu dilakukan, triti, tetapi kebanyakan dokumen-dokumen tersebut adalah berasaskan ekonomi dan kita telah minta tonggak ekonomi untuk melihat dan mengkaji jika boleh kita memendekkan dia punya senarai keperluan tersebut.

“Mengapa tidak kita berikan laluan awal kepada Timor-Leste untuk mereka menjadi ahli penuh,” katanya sambil menambah penyertaan Timor-Leste dalam keanggotaan negara ASEAN akan mampu memberi nilai tambah kepada blok ini.

Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu.

Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN adalah satu proses yang bermula selepas kemerdekaan negara itu pada 2002.

Timor-Leste diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju agar Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan