DUNIA > BERITA

INDONESIA BERI JAMINAN KESELAMATAN PASUKAN KEBANGSAAN BAHRAIN DI GELORA BUNG KARNO

22/10/2024 09:11 PM

JAKARTA, 22 Okt (Bernama-ANTARA) -- Menteri Belia dan Sukan Indonesia Dito Ariotedjo memberi jaminan terhadap keselamatan pasukan bola sepak kebangsaan Bahrain jika mereka beraksi menentang Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

“Oleh itu, jika ada kenyataan bahawa Bahrain tidak selamat di Indonesia, kami memastikan tiada potensi ancaman keselamatan yang boleh membahayakan pasukan Bahrain,” tegas Ariotedjo di Istana Presiden di sini pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa pasukan Bahrain tidak sepatutnya menolak untuk bermain di Indonesia, lapor Agensi Berita ANTARA.

“FIFA telah menyatakan bahawa perlawanan itu masih akan diadakan di Indonesia. Ia mesti diadakan di Indonesia. Jika (mereka) tidak datang, ini bermaksud (pasukan Indonesia) menang secara WO (walkover),” katanya.

Persatuan Bolasepak Bahrain sebelum ini mencadangkan agar venue perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Indonesia, yang dijadualkan pada Mac 2025 di Indonesia dipindahkan ke negara lain.

Permintaan itu dibuat berdasarkan kebimbangan mengenai keselamatan pasukan Bahrain selepas mereka menerima kritikan susulan keputusan seri 2-2 menentang Indonesia yang dianggap kontroversi pada 10 Oktober 2024.

Pada perlawanan itu, Indonesia mendahului 2-1 sehingga saat-saat akhir masa kecederaan, apabila pengadil Oman Ahmed Al-Kaf melanjutkan perlawanan melebihi enam minit masa tambahan yang ditunjukkan pada awalnya.

Keputusan Al-Kaf mencetuskan kemarahan penyokong Indonesia apabila Bahrain menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan.

Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) telah menghantar surat aduan kepada FIFA, membantah apa yang disifatkannya sebagai kesilapan oleh pengadil Al Kaf.

--BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan