DUNIA > BERITA

XI, PUTIN BERTEMU DI KAZAN

23/10/2024 03:03 PM

KAZAN, 23 Okt (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping telah bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin di Istana Kremlin di sini petang semalam waktu tempatan.

Xi berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik China-Rusia. Selepas melalui pelbagai cabaran dalam tempoh 75 tahun, kedua-dua negara berjaya dalam meneroka pendekatan yang sesuai bagi pergaulan antara negara kuasa besar yang berjiran, iaitu "tidak bersekutu, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasarkan pihak ketiga".

"Kini di sebalik situasi luar yang rumit dan kritikal, kerjasama bilateral dalam pelbagai bidang seperti perdagangan tetap berkembang dengan mantap, sedangkan pelbagai projek mega berada dalam pelaksanaan yang stabil.

“Kedua-dua pihak perlu terus meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembinaan bersama, dengan Persekutuan Ekonomi EuraAsia (EEU) supaya dapat mendorong peningkatan kualiti dalam pembangunan ekonomi di negara masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Xi menyatakan bahawa tahun depan adalah ulang tahun ke-80 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan juga ulang tahun ke-80 kemenangan perang anti Fasis sedunia.

Menurut beliau, sebagai negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan kuasa besar dunia, China dan Rusia perlu mengeratkan kerjasama strategik komprehensif, menambah interaksi dan meningkatkan penyelarasan dalam pelbagai kerangka multilateral seperti PBB dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) demi matlamat melindungi kestabilan strategik global serta kesamarataan dan keadilan antarabangsa.

"China berharap untuk berbincang secara mendalam dengan pemimpin negara BRICS mengenai isu mekanisme kerjasama blok itu tentang pembangunannya pada masa depan, mengambil tindakan yang tulen untuk mendorong kerjasama strategik dengan negara BRICS dalam pelbagai bidang yang dipercayai boleh mencipta lebih banyak peluang baharu kepada Selatan Global," tambah beliau.

Sementara itu, Putin berkata pihaknya bersedia bersama dengan China mengekalkan pertukaran di peringkat tinggi, serta kerjasama dan interaksi strategik dalam menangani hal ehwal antarabangsa untuk bersama-sama melindungi kesamarataan dan keadilan antarabangsa serta kestabilan strategik dalam senario global.

--BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan