DUNIA > BERITA

HOSPITAL DI UTARA GAZA KEHABISAN BEKALAN AKIBAT SEKATAN ISRAEL

23/10/2024 06:34 PM

BANDARAYA GAZA, 23 Okt (BERNAMA-ANADOLU) -- Hospital Al-Awda di utara Gaza kini kehabisan bekalan perubatan dan makanan akibat pengepungan berterusan oleh Israel, termasuk bekalan bahan api yang semakin kritikal, kata pengarah hospital Mohamed Saleha pada Selasa.

"Kami hidup di bawah pengepungan sepenuhnya kerana pihak pendudukan Israel memperketat cengkaman mereka terhadap hospital sejak Isnin. Kakitangan perubatan tidak dapat bergerak atau menerima sebarang sokongan luar," katanya kepada Agensi Anadolu.

Beliau mendakwa bahawa semua stok ubat-ubatan dan makanan telah habis, manakala bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan jabatan-jabatan penting hampir kehabisan, yang boleh membawa bencana besar dalam tempoh beberapa hari jika bekalan tidak dihantar segera.

Saleha menjelaskan bahawa persekitaran hospital sentiasa menjadi sasaran Israel, menyebabkan mustahil bagi individu cedera untuk sampai ke hospital atau sesiapa pun meninggalkan kawasan itu.

"Hospital ini dipenuhi pesakit yang memerlukan perhatian perubatan segera, termasuk wanita yang baru melahirkan dan memerlukan penjagaan selepas bersalin," tegasnya.

Beliau menyeru organisasi antarabangsa memberi tekanan kepada Israel bagi menghentikan kekejaman dan jenayah genosid, serta membolehkan kemasukan ubat-ubatan, bekalan perubatan, dan makanan ke hospital.

Pada 6 Okt, tentera Israel memulakan serbuan ke utara Gaza, mendakwa ia bertujuan menghalang Hamas daripada mengukuhkan kedudukan di kawasan itu, sementara pihak Palestin mendakwa Israel ingin menduduki wilayah terbabit dan mengusir penduduknya.

Lebih 42,700 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala hampir 100,300 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan