DUNIA > BERITA

KABINET PRABOWO KEKALKAN KESINAMBUNGAN DASAR DI SEBALIK KEBIMBANGAN TERHADAP SAIZNYA - PENGANALISIS

23/10/2024 08:03 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 23 Okt (Bernama) -- Presiden Prabowo Subianto melancarkan Kabinet ‘Merah-Putih’ pada Ahad, menandakan peralihan lancar daripada pentadbiran terdahulu sambil mengutamakan kementerian baharu dan mengekalkan kesinambungan dasar walaupun berdepan kemungkinan peningkatan kos, menurut bank pelaburan.

Kabinet itu menampilkan tujuh menteri penyelaras (meningkat daripada empat), 41 menteri (meningkat daripada 30), dan 56 timbalan menteri dengan 24 jawatan disandang oleh profesional dan selebihnya daripada tujuh parti berbeza – membentuk kabinet terbesar negara itu sejak 1966.

Perubahan utama termasuk mewujudkan tiga kementerian penyelaras baharu – makanan, infrastruktur, dan pemerkasaan sosial – serta membubarkan kementerian penyelarasan hal ehwal maritim dan pelaburan, manakala Kementerian Kerja Raya dan Perumahan dipecahkan kepada dua kementerian.

Dalam satu nota penyelidikan, Maybank Investment Bank Bhd (MaybankIB) bagaimanapun memberi amaran bahawa “kabinet yang lebih besar mungkin meningkatkan kos operasi”, dengan menganggarkan kenaikan tahunan dalam perbelanjaan gaji sebanyak Rp777 bilion (US$49.7 juta), memetik institut penyelidikan yang berpangkalan di Jakarta, Celios.

CIMB Investment Bank, dalam laporan berasingan menyatakan bahawa keputusan Prabowo untuk mengembangkan saiz kabinet atas sebab politik mungkin membawa kepada peningkatan kerumitan birokrasi, walaupun penstrukturan semula itu bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dasar melalui portfolio yang lebih kecil.

Prabowo mengekalkan kira-kira 17 menteri daripada pentadbiran bekas Presiden Joko Widodo, mencerminkan komitmen kepada kesinambungan politik seperti Bahlil Lahadalia (Tenaga), Budi Gunadi Sadikin (Kesihatan) dan Luhut Binsar Pandjaitan yang kini mengetuai Majlis Ekonomi Negara yang baharu.

Beliau juga melantik rakan sekutu yang dipercayai – termasuk Sjafrie Sjamsoeddin sebagai Menteri Pertahanan, Sugiono sebagai Menteri Luar dan Mejar Teddy Indra Wijaya sebagai Setiausaha Kabinet – mencerminkan gabungan kesinambungan dan kesetiaan dalam kabinet itu.

Dalam satu langkah mengejutkan, aktivis hak asasi manusia Natalius Pigai dilantik sebagai Menteri Hak Asasi Manusia yang pertama, menandakan komitmen untuk menangani sebarang isu berkaitan hak asasi manusia, menurut MaybankIB.

Agenda Prabowo memberi tumpuan kepada meningkatkan kedudukan global Indonesia melalui pembasmian kemiskinan, sara diri makanan dan tenaga, perindustrian, pembasmian rasuah, dan dasar luar negara tidak bersekutu.

Inisiatif utama termasuk melabur dalam industri hiliran dan menyediakan makanan percuma serta penjagaan kesihatan untuk pelajar sekolah dan ibu serta membina dua juta rumah untuk keluarga berpendapatan rendah.

MaybankIB menyatakan bahawa pasukan ekonomi berpengalaman Prabowo meningkatkan keyakinan pelabur, dengan ahli termasuk Airlangga Hartarto (Hal Ehwal Ekonomi), Sri Mulyani (Kewangan), Erick Thohir (Perusahaan Milik Negara), dan Budi Santoso (Perdagangan).

MaybankIB meramalkan pertumbuhan KDNK Indonesia sebanyak 5.1 peratus pada 2024 dan 5.2 peratus pada 2025, dan mungkin meningkat kepada 5.5 peratus pada 2026 – bergantung pada cara inisiatif Prabowo dilaksanakan.

CIMB Investment Bank menekankan bahawa belanjawan negara yang fleksibel akan membantu Indonesia mengelakkan kemunduran seperti yang berlaku pada 2015, apabila pertumbuhan KDNK perlahan kepada 4.8 peratus pada tahun pertama Joko Widodo disebabkan oleh perbelanjaan negara yang rendah.

Bank itu juga mengunjurkan pertumbuhan KDNK yang mampan sekitar 5.0 peratus pada 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan