DUNIA > BERITA

RAJA CHARLES DISAMBUT DI SAMOA DENGAN UPACARA MINUM AVA TRADISIONAL

24/10/2024 09:43 PM

APIA, 24 Okt (Bernama-PA Media/dpa) -- Raja Charles III dari Britain mengenakan pakaian tradisional Samoa semasa menghadiri upacara menyambut kedatangan baginda dan Permaisuri Camilla ke negara pulau itu untuk lawatan negara, lapor agensi berita PA Media.

Raja Charles menukar sutnya dengan jaket putih berlengan pendek berwarna putih dan seluar yang direka sendiri ketika baginda diberi penghormatan dengan gelaran baharu. 

Ketua negara Samoa dan penduduk kampung memberi penghormatan tertinggi kepada pasangan diraja itu dengan mengadakan upacara ava, yang disediakan oleh anak perempuan negarawan itu daripada serbuk akar ava, mewakili perpaduan masyarakat, dipersembahkan kepada baginda.

Upacara itu diadakan di Universiti Nasional Samoa, di sebuah falesamoa, sebuah dewan besar berbumbung terbuka yang diperbuat daripada kayu besar dan dikawal oleh sekumpulan “malosi ole nuu”, orator memakai pakaian tradisional, memegang tongkat sebagai simbol jawatan mereka serta memakai sarung dan kalungan bunga.

Mengikut adat, Raja Charles menuangkan beberapa titis ava sebelum meminum dari cawan yang diperbuat daripada tempurung kelapa sambil diperhatikan oleh orang tua dan pembesar kampung termasuk Perdana Menteri Samoa Afioga Fiame Naomi Mata'afa dan Setiausaha Luar UK David Lammy.

Raja Charles mengenakan sut jaket gaya Tentera Laut Diraja yang dibuat oleh Anderson & Shepperd, yang menampilkan kemasan fabrik oleh Sekolah Seni Samoa.

Jaket itu menyerupai elei, iaitu baju kasual berlengan pendek yang sering dipakai oleh lelaki Samoa. Malah, penampilan baginda turut diikuti oleh pegawai perlindungan dan beberapa pembantunya yang mengenakan baju berwarna-warni.

Di akhir upacara, kalungan buah kering dari pokok pandan diletakkan di leher baginda sebagai tanda penghormatan manakala Permaisuri Camilla diberikan kalungan bunga. Pasangan diraja itu juga dihadiahkan dengan pelbagai cenderahati. 

Kemudian di kampung Moata'a, ketuanya Tofaeono Lupati Fuatai berharap Raja Charles akan "mengingati sebahagian kecil budaya dan nilai Samoa bersamanya” selepas diberi gelaran Tui Taumeasina atau Raja Taumeasina.

Penduduk kampung berkumpul untuk upacara itu, sama seperti acara sebelumnya, dan kemudian ketua kampung kemudian menyatakan kekagumannya terhadap Raja dan usaha baginda untuk mengetengahkan isu perubahan iklim sepanjang hidup baginda.

 Beliau bercakap tentang penghormatan yang diberikan kepada Raja Charles, dengan berkata: "Kami berharap Raja membawa sebahagian kecil Samoa bersamanya.

"Apabila baginda bergelar Tui-Taumeasina, kami juga menjadi sebahagian daripadanya dan baginda akan terhubung dengan rakyat dan tanah kami selama-lamanya."

Negara Polinesia Samoa sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim termasuk siklon tropika, ombak ribut, banjir dan kemarau yang lebih teruk serta berpanjangan seperti negara membangun pulau kecil  yang lain.

Kampung Moata'a dipilih untuk meraikan pasangan diraja selepas kawasan itu terjejas teruk akibat banjir pada 2018. Sebagai tindak balas majlis komuniti membangunkan rancangan untuk menghadapi bencana alam pada masa depan dan menubuhkan kawasan pemuliharaan bakau yang dilawati oleh Raja.

Ketua kampung berkata: "Raja adalah pembela yang sempurna untuk negara kami. Perubahan iklim adalah nyata, ia berlaku sekarang dan kami mesti menggesa dunia untuk mengakui betapa berbahayanya ia untuk negara seperti kami."

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan