DUNIA > BERITA

PENGERUSI SPR, TIMBALAN SPEAKER SERTAI PEMERHATI ANTARABANGSA PADA PILIHAN RAYA UZBEKISTAN

25/10/2024 10:57 AM

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

TASHKENT (Uzbekistan), 24 Okt (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed antara enam rakyat Malaysia yang akan mengambil bahagian sebagai pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya parlimen Uzbekistan pada Ahad ini (27 Okt).

Delegasi Malaysia lain termasuk Naib Canselor/Presiden Universiti Malaya Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, Ahli Parlimen Kuching yang juga Ketua Kumpulan Antara Parlimen Malaysia-Uzbekistan Kelvin Yii Lee Wuen dan Ketua Program (Pendidikan Pengundi) Akademi Pilihan Raya SPR Mohd Rizuan Md Drus.

Lebih 500 pemerhati antarabangsa dan 150 wakil media dari 50 negara, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), akan menyertai sebagai pemerhati semasa pilihan raya Uzbekistan pada Ahad ini.

Delegasi Malaysia tiba di sini pada Khamis (24 Okt).

Pada Ahad, kira-kira 20 juta pengundi yang layak di Uzbekistan akan keluar mengundi untuk memilih 150 timbalan Dewan Undangan, 56 ahli Dewan Negara, serta timbalan untuk majlis wilayah, daerah dan bandar.

Lima parti politik telah diluluskan untuk mengambil bahagian, termasuk Pergerakan Usahawan dan Perniagaan - Parti Demokratik Liberal Uzbekistan (O’zLiDeP), Parti Demokratik “Milliy Tiklanish,” Parti Ekologi Uzbekistan, Parti Demokratik Rakyat dan Parti Demokratik Sosial “Adolat.”

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan