DUNIA > BERITA

APLIKASI JUDI SEBABKAN KEROSAKAN YANG TIDAK DAPAT DIBAYANGKAN DI SEBALIK PENINGKATAN KASINO DI DALAM POKET

25/10/2024 07:38 PM

BERLIN, 25 Okt (Bernama-dpa) -- Akses kepada pertaruhan Internet dan aplikasi kasino melalui telefon pintar menyumbang kepada peningkatan masalah perjudian serta potensi ketagihan dalam kalangan ratusan juta orang di seluruh dunia, dengan industri ini dijangka bernilai US$700 bilion menjelang 2028, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Kerugian akibat perjudian jauh lebih besar daripada yang difahami sebelum ini, diburukkan lagi oleh pengembangannya di peringkat global yang pesat dan transformasi digital industri perjudian," kata anggota sebuah suruhanjaya mengenai perjudian yang ditubuhkan oleh The Lancet, sebuah penerbit perubatan yang berpangkalan di United Kingdom.

Beberapa kesan ketagihan perjudian diketahui umum, seperti kesan terhadap kewangan, pekerjaan, hubungan dan kesejahteraan mental.

Bagaimanapun, terdapat juga kesan limpahan terhadap kesihatan fizikal yang kadang-kadang diabaikan, menurut suruhanjaya itu  yang menganggarkan jumlah individu yang mengalami gangguan perjudian adalah seramai 80 juta orang di seluruh dunia, manakala lebih 400 juta orang mengalami sekurang-kurangnya satu kesan buruk akibat perjudian.

"Sesiapa sahaja yang memiliki telefon bimbit kini mempunyai akses kepada apa yang pada asasnya adalah sebuah kasino di dalam poket mereka, 24 jam sehari," kata Heather Wardle dari Universiti Glasgow, yang juga pengerusi bersama suruhanjaya itu, sambil mendakwa penyedia perkhidmatan menggunakan "pemasaran dan teknologi yang sangat canggih" serta "mekanisme reka bentuk untuk menggalakkan libat urus berulang kali dan lebih lama".

Teknik reka bentuk dan mengantaramukakan yang bersifat meyakinkan digunakan untuk membentuk tingkah laku pengguna dan memaksimumkan keterlibatan pengguna," menurut suruhanjaya itu, sambil merujuk kepada algoritma berasaskan data yang digunakan untuk menyasarkan promosi kandungan yang lebih menarik kepada pengguna tertentu.

Telefon pintar dan aplikasi membolehkan akses mudah kepada pertaruhan sukan popular dan mesin slot dalam talian, termasuk kepada kanak-kanak yang dahulunya terlalu muda untuk mengakses kedai untuk membuat taruhan atau kasino secara fizikal.

"Kanak-kanak dan remaja amat terdedah kepada tarikan wang mudah serta reka bentuk permainan seperti perjudian dalam talian," kata Kristiana Siste daripada Universitas Indonesia.

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan