DUNIA > BERITA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS AKIBAT TAUFAN KRISTINE DI FILIPINA SETAKAT INI

25/10/2024 07:52 PM

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) – Setakat ini, tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas akibat Taufan Tropika Kristine (Trami) yang telah menyebabkan banjir besar, tanah runtuh dan mengakibatkan ratusan penduduk di Filipina dipindahkan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar  yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, memaklumkan bahawa setakat Jumaat, isyarat angin bagi Taufan Kristine yang dikategorikan sebagai siklon tropika Tahap Dua, masih aktif di Metro Manila dan kawasan-kawasan di seluruh Luzon.

Kementerian itu menyatakan bahawa taufan berkenaan dijangka keluar dari kawasan di bawah tanggungjawab Filipina pada Jumaat.

“Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila, sedang memantau rapi perkembangan Taufan Tropika Kristine (Trami) yang telah membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir serta tanah runtuh, mengakibatkan beberapa kematian, kecederaan dan pemindahan ratusan keluarga.

“Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat taufan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila di Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila, atau menghubungi talian telefon +63 2 8662 8200 atau 0917 864 0761, atau melalui e-mel di mwmanila@kln.gov.my.

Mereka yang belum mendaftar dan mengemas kini lokasi serta butiran diri dinasihatkan supaya berbuat demikian dengan segera di https://ekonsular.kln.gov.my

Sementara itu, Kementerian Luar sedang menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan mengenai bantuan yang akan diberikan kepada Filipina.

“Malaysia mengucapkan takziah dan simpati  kepada kerajaan dan rakyat Filipina, terutama kepada mangsa dan keluarga yang terjejas oleh kejadian ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut memaklumkan bahawa satu lagi taufan, yang bakal dinamakan “Leon”, kini berada 2,500 kilometer dari Visayas dan dijangka memasuki kawasan di bawah tanggungjawab Filipina pada Ahad (27 Okt).

Xinhua melaporkan bahawa angka korban akibat Taufan Tropika Trami yang melanda Filipina minggu ini telah meningkat kepada 46 orang, dengan sekurang-kurangnya 20 orang lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Dalam satu laporan, Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ariel Nepomuceno menyatakan bahawa sembilan wilayah di seluruh negara telah melaporkan kematian berkaitan dengan Trami.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan