DUNIA > BERITA

MALAYSIA KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS IRAN, GESA PERMUSUHAN DIHENTIKAN SERTA-MERTA

26/10/2024 12:26 PM

PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel ke atas negara berdaulat Iran, terutamanya di Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad dan Shiraz pada awal pagi Sabtu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan serangan itu merupakan pelanggaran jelas ke atas undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kestabilan serantau secara serius. Skala, jumlah korban dan tahap kerosakan masih ditentukan.

“Malaysia menggesa agar tindakan permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan ditamatkan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menyatakan bahawa tindakan berterusan Israel tanpa sebarang hukuman telah dan akan menjejaskan keselamatan serta kestabilan masa depan Timur Tengah, membawa rantau itu ke ambang konflik yang lebih meluas.

Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata Kedutaan Malaysia di Tehran sedang memantau dengan teliti perkembangan ini dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh serangan berkenaan.

"Semua rakyat Malaysia di Iran dinasihatkan supaya bertenang, berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Tehran di alamat berikut: No. 25,  2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb, Tehran, Republik Islam Iran. 

Mereka juga boleh menghubungi kedutaan melalui telefon di +9821 8807 2444 atau +9821 8807 8606, atau melalui e-mel di mwtehran@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan