DUNIA > BERITA

TINGGAL HANYA SEORANG DOKTOR DI HOSPITAL UTARA GAZA DI TENGAH-TENGAH SERANGAN ISRAEL

28/10/2024 09:51 PM

BANDARAYA GAZA , 28 Okt (Bernama-Anadolu) -- Hanya seorang doktor yang masih berkhidmat di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza selepas petugas perubatan hospital itu ditahan atau dipindahkan oleh tentera Israel, kata Kementerian Kesihatan pada Isnin.

"Di hospital itu kini hanya tinggal seorang pakar pediatrik daripada semua kepakaran yang ada," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian.

Kementerian itu merayu kepada pertubuhan antarabangsa supaya segera menghantar pasukan perubatan, termasuk pakar bedah, ke hospital berkenaan untuk membantu merawat pesakit dan mangsa yang cedera.

Pada Jumaat, Pejabat Media Kerajaan Gaza dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan terputus hubungan dengan kakitangan perubatan di hospital itu selepas serbuan oleh tentera Israel.

Menurut saksi, tentera Israel berundur dari kemudahan perubatan itu pada Sabtu selepas menahan ratusan orang, termasuk petugas perubatan dan pesakit.

Tentera Israel telah melancarkan serangan di utara Gaza sejak 5 Okt lepas dengan mendakwa untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula di tengah-tengah sekatan di kawasan itu. Bagaimanapun, rakyat Palestin menuduh Israel cuba menduduki kawasan itu dan memaksa penduduknya berpindah. 

Lebih 1,000 orang telah terbunuh di utara Gaza sejak serangan bermula, menurut Perkhidmatan Pertahanan Awam Palestin.

Serangan itu adalah episod terbaharu  kekejaman Israel di Semenanjung Gaza yang telah meragut hampir 43,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,800 orang lagi cedera sejak 7 Okt tahun lepas, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel telah menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah itu dipindahkan di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah menyebabkan kekurangan akut makanan, air bersih, dan ubat-ubatan. 

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU  

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan