DUNIA > BERITA

DEMOKRAT SOSIAL LITHUANIA PILIH TIMBALAN KETUA PARTI, PALUCKAS SEBAGAI PM

31/10/2024 11:57 AM

RIGA, 31 Okt (Bernama-dpa) -- Parti Demokrat Sosial di Lithuania menamakan timbalan ketua parti, Gintautas Paluckas sebagai calon perdana menteri mereka selepas kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen baru-baru ini, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Paluckas, 45, yang pernah menerajui parti itu dari 2017 hingga 2021, memiliki "banyak pengalaman dan kualiti yang diperlukan" untuk jawatan ketua kerajaan, kata ketua parti Vilija Blinkeviciute pada Rabu di Vilnius.

Blinkeviciute, 64, menyatakan bahawa beliau tidak akan mencalonkan diri untuk jawatan itu kerana faktor usia dan kesihatan tetapi akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen Eropah, peranan yang dipegangnya sejak 2009.

Keputusan itu dibuat secara bersama oleh praesidium parti, tambah Blinkeviciute.

Demokrat Sosial, yang sebelum ini merupakan parti pembangkang, muncul sebagai parti utama dalam pilihan raya pada Ahad, memenangi 52 daripada 141 kerusi parlimen.

Mereka kini berusaha membentuk gabungan berhaluan kiri tengah dan sedang berunding dengan beberapa parti kecil.

Perubahan kerajaan di Lithuania, yang bersempadan dengan eksklaf Baltik Rusia di Kaliningrad dan Belarus, akan membawa perubahan utama dalam dasar domestik dan sosial.

Ramai rakyat Lithuania bimbang dengan kenaikan mendadak kos sara hidup, dan Demokrat Sosial menjadikan isu ini sebagai teras dalam kempen pilihan raya mereka. Mereka merancang untuk meningkatkan pencen dan memperbaiki bayaran kebajikan.

Dalam aspek dasar luar dan keselamatan, negara Baltik ini dijangka akan meneruskan komitmennya sebagai sebahagian daripada Kesatuan Eropah dan NATO serta terus memberikan sokongan kepada Ukraine.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan