DUNIA > BERITA

MALAYSIA DISARAN MEMIMPIN ASEAN TINGKATKAN BANTUAN KEPADA ROHINGYA - MSF

02/11/2024 04:41 PM

Oleh Noor Bakthtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Jawatan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2025 dilihat peluang penting untuk meningkatkan sokongan kemanusiaan bagi masyarakat Rohingya, kata Setiausaha Agung Doctors Without Borders (MSF), Chris Lockyear.

Beliau menekankan pentingnya tindakan kolaboratif di seluruh rantau ini dan menyeru ASEAN untuk segera meningkatkan bantuan kepada komuniti Rohingya, baik di Myanmar mahupun di negara-negara tuan rumah seperti Malaysia dan Bangladesh.

Lockyear turut menyuarakan kebimbangan mengenai cabaran dalam menyalurkan bantuan kepada populasi yang terjejas, khususnya di Negeri Rakhine, ketika akses yang terhad menyukarkan penghantaran bantuan.

“Di Myanmar, akses kami ke Negeri Rakhine semakin berkurang dengan ketara. Dari perspektif kami, keperluan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan adalah mendesak, sama ada melalui kaedah alternatif di Myanmar, di Bangladesh, atau di sini di Malaysia.

“Jelas bahawa perlu ada peningkatan sokongan kepada keseluruhan populasi Rohingya,” kata Lockyear dalam sebuah acara di sini, Sabtu.

Lockyear mencadangkan agar Malaysia menggunakan jawatan selaku pengerusi untuk memastikan pelaksanaan yang lebih tegas terhadap Konsensus Lima Perkara bagi menangani krisis berkenaan.

Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam mengukuhkan bantuan kepada Rohingya di Myanmar dan memperkukuh dasar berkaitan pelarian di seluruh rantau ini, katanya.

Beliau turut menggesa ASEAN agar tidak hanya tertumpu kepada keperluan kemanusiaan segera, tetapi juga membina strategi jangka panjang yang lebih komprehensif untuk melindungi pelarian Rohingya.

Pendekatan ini, menurut Lockyear akan membantu memastikan perlindungan undang-undang bagi mereka yang melarikan diri daripada konflik, mengurangkan kebergantungan mereka kepada pekerjaan tidak formal, dan melindungi mereka daripada eksploitasi.

“Saya percaya setiap peluang, sama ada melalui jawatan Pengerusi ASEAN atau saluran lain, harus dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami sedar tiada penyelesaian ajaib, namun kita perlu mengambil pendekatan yang teliti terhadap dasar pelarian untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan dan melindungi hak mereka,” kata Lockyear.

Doctors Without Borders, atau Médecins Sans Frontières (MSF), adalah organisasi kemanusiaan perubatan global yang diasaskan pada 1971.

Beroperasi di lebih 70 negara, Doctors Without Borders menyediakan bantuan perubatan kepada mereka yang terjejas akibat konflik, wabak, bencana, dan kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan