DUNIA > BERITA

TIGA SUSPEK PENGGANAS DITAHAN DI JAWA TENGAH - POLIS INDONESIA

05/11/2024 06:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Nov (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan bahawa unit antikeganasan Polis Nasional, Detasemen Khusus 88 (Densus 88), telah menahan tiga suspek pengganas di lokasi berbeza di Jawa Tengah pada Isnin.

Jurucakap Polis Jawa Tengah,Pesuruhjaya Kanan Artanto, berkata seorang suspek ditahan di Kampung Gribig, Gebog, Kudus, seorang lagi di Solo, dan seorang lagi di Kebonbatur, Mranggen, Demak.

Beliau berkata, Densus 88 sedang menyiasat penglibatan mereka dalam aktiviti keganasan.

"Saya tidak mengetahui dengan tepat garis masa penahanan, tetapi ketiga-tiga tangkapan berlaku pada Isnin," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa butiran lanjut kes itu akan diberikan oleh Densus 88.

Media tempatan, Kompas, melaporkan bahawa seorang daripada yang ditahan ialah seorang penunggang perkhidmatan e-hailing motosikal berusia 36 tahun, yang dikenal pasti sebagai BI, disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan Jamaah Anshor Daulah yang bersekutu dengan Daesh.

Penahanan itu berlaku sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan, diikuti dengan penggeledahan rumah BI di Kampung Gribig, dengan pegawai tempatan turut berada di lokasi semasa operasi.

Seorang lagi suspek, S, dari Jawa Timur, ditahan di sebuah rumah sewa di Sukoharjo, berhampiran Solo, manakala suspek ketiga, A, ditahan di rumahnya di Demak.

Semasa penahanan, Densus 88 menemukan bendera Daesh di ketiga-tiga rumah dan merampas pelbagai barangan dari kediaman S, termasuk buku, anak panah, parang, dan pedang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan