DUNIA > BERITA

NEGERA ANGGOTA OIC PERLU GUNA TEKNOLOGI HIJAU UNTUK TINGKAT EKSPORT

05/11/2024 10:10 PM

ISTANBUL, 5 Nov (Bernama) — Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk mengguna pakai teknologi hijau, produk mesra alam dan amalan kelestarian bagi meningkatkan eksport mereka, memandangkan kemampanan adalah trend baharu dalam pasaran global. 

Menurut buku kecil yang diterbitkan sempena Ulang Tahun ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan OIC (COMCEC), mewujudkan piawaian pensijilan hijau serta berkongsi amalan terbaik dalam pengeluaran mampan dalam negara-negara OIC akan dapat dibuat melalui kerjasama.

Ia menekankan bahawa negara-negara seperti Maghribi serta Malaysia telah mengambil langkah ke arah menggalakkan pertanian lestari dan eksport tenaga boleh baharu.

“Usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan kapasiti eksport tetapi akan meletakkan negara anggota OIC sebagai pemain yang bertanggungjawab dalam pasaran global, memenuhi permintaan yang semakin menokok untuk produk hijau,” katanya. 

Banyak negara sedang menyelaraskan strategi eksport mereka dengan arah aliran global, yang semakin menjurus kepada amalan perdagangan hijau dan mampan. 

“Ini melibatkan penggunaan kaedah pengeluaran mesra alam, mengurangkan jejak karbon termasuk memenuhi piawaian alam sekitar antarabangsa,” katanya.

Peningkatan perkhidmatan dan perdagangan digital, kepentingan kelestarian yang semakin bertambah serta perubahan landskap geopolitik adalah pemacu utama perdagangan global.

Oleh itu, negara anggota OIC harus melihat ke arah keperluan digital dan ekonomi hijau selain mempelbagaikan produk eksport mereka dan memajukan kerjasama pelbagai hala.

“Dengan cara ini, ekonomi OIC akan maju dalam ekonomi dunia yang semakin saling berkaitan dan dinamik,” katanya. 

Diadakan di Istanbul, Turkiye dari 2-5 Nov, COMCEC telah dihadiri oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang turut memberi kenyataan bagi pihak negara anggota OIC dari Kumpulan Asia. 

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 40 tahun seorang menteri Malaysia menghadiri COMCEC, yang terakhir ialah Tengku Razaleigh Hamzah pada 1984.

Berdasarkan laporan OIC, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kalangan 10 negara OIC teratas dari segi eksport barangan dan perkhidmatan pada 2022, dengan eksport barangan mencecah U$352.33 juta serta US$31.89 juta untuk eksport perkhidmatan. 

Dari Januari hingga September 2024 (9M2024), jumlah perdagangan Malaysia dengan negara anggota OIC meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada RM242.45 bilion daripada RM222.29 bilion pada 9M2023. 

Jumlah eksport Malaysia ke negara anggota OIC naik 8.5 peratus dari tahun ke tahun kepada RM111.89 bilion dalam tempoh yang sama, manakala jumlah import melonjak sebanyak 9.5 peratus kepada RM130.56 bilion.

— BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan