DUNIA > BERITA

BHGN 1: PAKAR BEDAH TAIWAN KONGSI PENGALAMAN MENYEDIHKAN RAWAT MANGSA PERANG DI GAZA

08/11/2024 12:47 AM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

 

(Dr. Wu Yi-chun, seorang pakar bedah plastik dan “reconstructive” berkemahiran tinggi dari Taiwan, menawarkan diri untuk berkhidmat bersama Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di Gaza selama sebulan, dan  beliau menghadapi cabaran luar biasa ketika bertugas di unit trauma dan kebakaran Hospital Nasser di Khan Yunis. Bahagian pertama ini menyelami cabaran yang dihadapi beliau sepanjang berkhidmat di sana serta penderitaan rakyat Palestin yang disaksikannya.)

 

 

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Dr. Wu Yi-chun, seorang pakar bedah plastik dan “reconstructive”  berpengalaman dari Taiwan, berkongsi pengalaman secara langsung mengenai kesulitan ekstrem yang dialami oleh rakyat Palestin di selatan Gaza.

Berusia 42 tahun, beliau menawarkan diri untuk berkhidmat bersama Doktor Tanpa Sempadan (MSF) sepanjang bulan Julai di unit trauma ortopedik dan kebakaran Hospital Nasser di Khan Yunis, sebuah kemudahan yang berkhidmat kepada komuniti yang sangat terjejas oleh konflik berterusan dan menghadapi cabaran infrastruktur.

Dengan pengalaman perubatan selama 12 tahun, Dr. Wu telah bersedia menghadapi keadaan yang mencabar, namun situasi di Gaza melebihi jangkaannya.

Setibanya beliau di sana, MSF telah berjaya memulihkan sebahagian unit berkenaan tetapi keadaan kekal mencabar. Hospital itu berhadapan dengan infrastruktur yang semakin teruk, sistem pembetungan dan air yang tidak boleh diharap, serta gangguan bekalan elektrik yang kerap, menjejaskan penjagaan dan keselamatan pesakit.

Komitmen Dr. Wu untuk berkhidmat kepada mereka yang sangat memerlukan membawanya ke Gaza kerana kepakarannya sangat penting di kawasan yang kekurangan profesional perubatan.

“Kesusahan di sini tidak terungkap dengan kata-kata,” katanya, sambil menambah bahawa rakyat Palestin di Khan Yunis kekurangan keperluan asas, termasuk tempat tinggal yang selamat dan kemudahan perubatan yang boleh diharap.

Dr. Wu menggambarkan jumlah pesakit yang begitu ramai sebagai bukti krisis yang dihadapi. Walaupun dalam keadaan yang sukar ini, keperluan untuk pembedahan tidak pernah surut.

“MSF telah mempersiapkan kami untuk jenis kecederaan yang akan kami rawat, tetapi melihatnya secara di depan mata adalah mengejutkan,” katanya.

“Kecederaan yang dialami bukan sahaja parah, malah tiada bandingannya dengan apa yang pernah saya lihat. Ramai kanak-kanak, termasuk bayi, mengalami keretakan tulang terbuka, anggota badan yang hancur, dan kebakaran teruk yang meliputi muka, torso dan anggota badan mereka,” katanya mengimbas kembali pengalamannya.

Bertugas di Hospital Nasser, Dr. Wu menggambarkan bekalan air yang tidak menentu dan penyaman udara yang kerap terganggu, termasuk di bilik bedah kerana suhu rendah sangat penting untuk mencegah jangkitan.

“Bayangkan hospital mengalami gangguan elektrik. Kami terpaksa memakai gaun bedah sambil berpeluh, dan lalat ada di mana-mana, memaksa kami menggunakan perangkap lalat di bilik pembedahan. Banyak kekurangan bahan dan peralatan bedah asas,” katanya.

Beliau menerangkan bahawa walaupun hospital mempunyai generator, sekatan bahan api menjadikan ia hanya boleh digunakan di kawasan tertentu, seperti bilik bedah, dengan lampu di wad dan koridor hospital terpadam beberapa kali sehari.

Ketika ditanya mengenai keselamatannya, beliau mengakui bahawa kawasan itu sangat tidak stabil, tanpa zon yang benar-benar selamat di Gaza.

Walaupun MSF telah mempersiapkannya, kenyataan yang berterusan ialah mendengar bunyi bom, jet pejuang, mesingan daripada helikopter Apache, dan dron yang berlegar-legar 24 jam sehari menjadi peringatan berterusan bahawa mereka berada di zon perang.

“Anda tidak akan terbiasa dengannya. Ia sesuatu yang anda jangkakan dan cuba membiasakannya tetapi setiap kali bom meletup, ia membuatkan kita terkejut. Kadang-kadang ia sangat dekat sehingga tingkap bergetar dan angin bertiup menyapu rambut anda,” katanya.

Beliau berkata pada waktu malam, kawasan itu diterangi oleh cahaya kilat daripada letupan yang berterusan, manakala pada siang hari, bunyi berdengung dron dapat didengar di atas kepala.

Dr. Wu turut ditanya sama ada pesakit yang dirawatnya boleh pulih sepenuhnya dengan pembedahan “reconstructive” dan beliau menjawab bahawa disebabkan kecederaan yang sangat serius, ramai yang tidak dapat pulih sepenuhnya.

“Jika anda mempunyai keretakan tulang terbuka, biasanya kami akan menggunakan kaedah penetapan dalaman, iaitu plat logam di dalam badan,” katanya.

“Tetapi disebabkan kebersihan yang tidak terjamin, kami hanya boleh melakukan penetapan luaran, dengan plat logam diletakkan di luar badan, menjadikan penetapan kurang berkesan,” katanya lagi.

Beliau berkata ramai kanak-kanak mengalami kecederaan tisu lembut yang serius, dengan sebahagian besar otot atau kulit yang hilang, menyebabkan kecacatan kekal dan fungsi anggota badan yang terjejas.

“Jadi mereka tidak boleh pulih sepenuhnya kerana terdapat banyak kecederaan saraf. Pembedahan ‘reconstructive’ hanya boleh menutup luka, dan saya melihat banyak luka yang penuh dengan ulat kerana lalat bertelur di atas luka-luka ini,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wu berkata kebanyakan pesakit di Gaza tidak dapat merawat luka mereka di rumah kerana mereka tidak mempunyai rumah. Mereka tinggal di khemah dan kadangkala tiada air untuk membersihkan luka atau menggantikan pembalut yang baharu. Keadaan yang teruk ini memaksa mereka ke hospital untuk rawatan asas luka.

“Hospital tidak dapat menampung jumlah pesakit. Mereka yang mengalami kecederaan ringan terpaksa pulang dan hanya kembali untuk menukar pembalut. Hanya kes yang paling parah yang tinggal, dan jumlahnya pun sangat mengejutkan,” katanya.

Selain itu, Dr. Wu berkata kekurangan peralatan bedah moden memaksa beliau dan doktor lain menggunakan kaedah pembedahan tradisional.

Beliau berkata banyak prosedur “reconstructive” plastik yang canggih, seperti “microsurgery”, tidak dapat dijalankan, dan para doktor terpaksa bergantung pada teknik dari 20 atau 30 tahun yang lampau.

Sejak kembali pada Ogos selepas sebulan di Gaza, Dr. Wu ditanya sama ada beliau akan kembali. Tanpa ragu-ragu, beliau menjawab, “Ya. Saya akan kembali tahun depan.”

Walaupun garis masanya tidak pasti, beliau berhasrat kembali ke sana selepas Tahun Baharu Cina.

“Jika mereka memerlukan saya, saya akan pergi. Ini adalah tanggungjawab saya untuk terus menawarkan kepakaran di mana ia paling diperlukan,” katanya sambil menegaskan komitmennya untuk membantu mereka di Gaza.

– BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan