DUNIA > BERITA

MALAYSIA SEDIA SALUR BANTUAN KEWANGAN KEPADA LUBNAN

11/11/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat serangan Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati semasa menerima kunjungan hormat pemimpin itu di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.

“Dalam pertemuan ini saya nyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan kegilaan rejim Zionis Israel.

“Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel sehingga mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tercedera,” katanya.

Pada malam Ahad, Anwar Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk ke Riyadh, bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu yang dijadual berlangsung hari ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan