DUNIA > BERITA

INDONESIA LAKSANA TINDAKAN SEGERA BANTU PELANCONG TERJEJAS AKIBAT LETUSAN GUNUNG LEWOTOBI

12/11/2024 02:14 PM

JAKARTA, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan Indonesia bertindak pantas dengan mengaktifkan Pusat Maklumat Pelancongan (TIC) melalui Badan Pelaksana Labuan Bajo Flores (BPOLBF) bagi membantu pelancong yang terkesan susulan letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.

Timbalan Menteri bagi Pembangunan Destinasi dan Infrastruktur, Hariyanto dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, TIC menyediakan maklumat terkini mengenai pilihan pengangkutan termasuk laluan udara dan laut, serta kemas kini tentang aktiviti tempatan dan destinasi pelancongan.

“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan tempatan, Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD), dan industri pelancongan untuk memastikan keselamatan serta kebajikan pengunjung dan masyarakat setempat,” katanya.

Bagi pelancong yang memerlukan maklumat lanjut atau bantuan bagi prosedur pemindahan, boleh menghubungi TIC melalui WhatsApp di +62 811-3879-4555 atau kunjungi pejabat BPOLBF di Labuan Bajo.

Kementerian juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia (PHRI) untuk menawarkan penginapan dengan diskaun kepada pelancong yang terjejas akibat gangguan itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo di Labuan Bajo yang sebelum ini ditutup sementara, telah dibuka semula pada Selasa, menurut kementerian.

Bagaimanapun, empat lagi lapangan terbang di wilayah itu, iaitu Lapangan Terbang H. Hasan Aroeboesman di Ende, Lapangan Terbang Gewayantana di Larantuka, Lapangan Terbang Frans Seda Maumere di Sikka, dan Lapangan Terbang Soa di Bajawa masih ditutup.

Sebagai alternatif, sebanyak 15 bot laju dan kapal penumpang dengan kapasiti antara 225 hingga 5,182 orang disediakan untuk membantu pemindahan pelancong dan penduduk tempatan ke Sape Sumbawa, Nusa Tenggara Barat.

Dalam pada itu, beberapa acara penting termasuk Festival Jazz Antarabangsa Golomori ditangguhkan sehingga awal 2025, sementara kementerian terus memberi keutamaan kepada keselamatan dan melaksanakan langkah mitigasi berkesan.

Letusan Gunung Lewotobi meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa setakat 4 Nov, mendorong pihak berkuasa meningkatkan amaran aktiviti gunung berapi ke tahap tertinggi, iaitu Tahap IV.

Gunung berapi setinggi 1,584 meter itu masih meletus dan zon keselamatan diperluas kepada radius sembilan kilometer sejak Jumaat lalu, manakala seramai 11,445 penduduk dipindahkan dari kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan