DUNIA > BERITA

PM JEPUN ISHIBA TERLEPAS SESI FOTO BERKUMPULAN APEC KERANA KESESAKAN LALU LINTAS

18/11/2024 02:54 PM

TOKYO, 18 Nov (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba terlepas sesi foto berkumpulan pada sidang kemuncak APEC di ibu kota Peru, Lima, kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan pulang dari melawat kubur, kata jurucakap kerajaan tertinggi pada Isnin.

Menurut Agensi Berita Kyodo, sesi foto pada Sabtu itu berlangsung tanpa kehadiran Ishiba, dengan pemimpin seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping hadir.

Xi berdiri berhampiran tengah di barisan hadapan manakala Biden yang akan berundur pada Januari, berada di bahagian belakang.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshimasa Hayashi berkata dalam sidang akhbar bahawa "oleh kerana sesi foto diadakan di penghujung pertemuan, ketiadaan tersebut tidak menjejaskan proses membina hubungan dengan pemimpin lain."

Ishiba yang dilantik sebagai perdana menteri pada awal Oktober, "menyampaikan mesejnya dan menunjukkan kehadirannya dengan kukuh sepanjang pertemuan dua hari" forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, tambah Hayashi.

Beliau menjelaskan bahawa Ishiba terperangkap dalam kesesakan teruk akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke tempat sidang selepas meletakkan bunga di kubur bekas Presiden Peru Alberto Fujimori, di pinggir Lima.

Fujimori yang merupakan ketua negara pertama berketurunan Jepun di negara Amerika Selatan itu, meninggal dunia pada usia 86 tahun pada September.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan