DUNIA > BERITA

3 ASKAR LUBNAN TERBUNUH DALAM SERANGAN UDARA ISRAEL KE ATAS KEMUDAHAN TENTERA

20/11/2024 04:48 PM

BEIRUT, 20 Nov (Bernama-AA) -- Tentera Lubnan pada Selasa memaklumkan bahawa tiga anggotanya terkorban dalam serangan udara Israel ke atas sebuah pos tentera di Sarafand, sebuah kampung di selatan Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah korban dalam satu kenyataan berasingan, melaporkan jumlah awal tiga askar terbunuh dan lapan yang lain cedera, termasuk anggota tentera dan orang awam.

Kementerian itu kemudian melaporkan jumlah kecederaan awal seramai 17 orang tanpa memperincikan bilangan askar yang cedera.

Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati pada Ahad mengumumkan bahawa jumlah kematian dalam kalangan askar Lubnan telah meningkat kepada 36 sejak pencerobohan Israel bermula pada Okt 2023.

Pengumuman itu bertepatan dengan satu lagi serangan yang menyaksikan dua askar terbunuh manakala dua yang lain cedera dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah pos tentera di bandar Mari di daerah Hasbaiyya, selatan Lubnan.

Israel telah terlibat dalam peperangan rentas sempadan dengan Lubnan, melancarkan serangan udara terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran kumpulan Hizbullah pada akhir September.

Lebih 3,540 orang telah terbunuh akibat serangan Israel di Lubnan, dengan lebih 15,000 cedera dan lebih sejuta kehilangan tempat tinggal sejak Oktober lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Tel Aviv meluaskan konflik dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Okt.

-- BERNAMA-AA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan