DUNIA > BERITA

TUJUH MAUT, LEBIH 820,000 KELUARGA TERJEJAS AKIBAT TIGA TAUFAN DI FILIPINA

20/11/2024 04:52 PM

MANILA, 20 Nov (Bernama-PNA) -- Jumlah kematian akibat kesan gabungan taufan Nika (nama antarabangsa Toraji), Ofel (Usagi) dan Pepito (Man-yi) telah meningkat kepada tujuh dengan kira-kira 820,831 keluarga terjejas, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina (NDRRMC) pada Rabu.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan dalam laporan situasi terbaharunya, agensi itu menyatakan bahawa tujuh kematian berkenaan kesemuanya dari Lembah Cagayan, masih dalam proses pengesahan

NDRRMC turut melaporkan bahawa 14 orang cedera dengan 11 daripadanya telah disahkan – sembilan di wilayah Cordillera dan dua di Luzon Tengah.

Laporan mengenai tiga lagi individu cedera di Lembah Cagayan juga sedang disahkan.

Pihak berkuasa juga sedang mengesahkan laporan mengenai tiga orang hilang – dua di Luzon Tengah dan seorang di Lembah Cagayan.

Kesemua angka ini tertakluk kepada perubahan kerana proses pengesahan masih dijalankan, menurut agensi itu.

Sementara itu, NDRRMC menyatakan bahawa keluarga terjejas adalah bersamaan dengan 3,031,171 orang yang tinggal di 5,859 kampung di wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Luzon Tengah, Calabarzon, Mimaropa, Bicol dan Cordillera.

Setakat laporan ini, agensi itu memaklumkan bahawa 82,810 keluarga atau 288,566 orang menerima bantuan di 2,693 pusat pemindahan manakala 43,015 keluarga atau 154,291 individu menerima bantuan di luar pusat pemindahan.

Keluarga yang dipindahkan terlebih dahulu berjumlah 212,161, terdiri daripada 721,369 individu yang tinggal di wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Luzon Tengah, Calabarzon, Mimaropa, Bicol dan Wilayah Ibu Negara.

Jumlah rumah yang rosak telah mencecah 22,421 di enam wilayah – 19,014 daripadanya mengalami kerosakan "sebahagiannya" manakala 3,407 musnah sepenuhnya.

Kerosakan kepada pertanian dan infrastruktur dianggarkan masing-masing berjumlah PHP8.64 juta dan PHP1.54 bilion.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan