DUNIA > BERITA

SAMI MALAYSIA DITAHAN DI THAILAND, DISYAKI MENCURI DI KUIL

22/11/2024 08:43 PM

BANGKOK, 22 Nov (Bernama) -- Seorang sami rakyat Malaysia ditahan di Chiang Rai, sebuah wilayah di utara Thailand, pada Khamis kerana disyaki mencuri barangan berharga daripada sebuah kuil Buddha, Wat Chet Yot di Wilayah Chiang Mai, menurut polis Thailand.

Superintenden Pusat Pemeriksaan Imigresen Chiang Saen di Chiang Rai, Kolonel Polis Chinakorn Atsawaphum, dalam kenyataan pada Jumaat berkata siasatan terhadap kes itu bermula selepas polis Chang Phueak di Chiang Mai menerima laporan mengenai kehilangan barangan berharga daripada wat itu.

“Polis mendapati suspek, seorang sami dari Malaysia yang menetap di kuil itu,  menghilangkan diri selepas kecurian,” katanya, sambil menjelaskan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Chiang Mai pada 20 Nov.

Beliau berkata, sami berusia 50 tahun itu ditahan berhampiran Wat Phra Chao Lan Thong di wilayah Chiang Rai kira-kira pukul 12 tengah hari pada Khamis.

“Suspek mengaku dia adalah individu yang dinamakan dalam waran tangkap. Siasatan kes ini sedang dijalankan,” kata Chinakorn.

Sebelum pihak berkuasa Thailand meneruskan tindakan undang-undang, Chinakorn berkata suspek, yang mungkin berdepan tuduhan mencuri di kediaman di bawah undang-undang Thailand, berkemungkinan akan dilucutkan statusnya sebagai sami terlebih dahulu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan