JAKARTA, 26 Nov (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan Indonesia secara rasmi menolak cadangan pelaburan US$100 juta oleh Apple untuk tempoh 2024-2026, lapor Xinhua.
"Kementerian Perindustrian berpendapat bahawa cadangan yang dikemukakan oleh Apple tidak memenuhi aspek keadilan," kata Menteri Perindustrian Indonesia, Agus Gumiwang Kartasasmita pada Isnin.
Beliau berkata bahawa pelaburan Apple tidak memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pendapatan negara atau mewujudkan peluang pekerjaan.
Jumlah pelaburan itu juga dianggap tidak adil jika dibandingkan dengan pelaburan yang dibuat oleh syarikat teknologi asing lain yang telah menubuhkan kilang di Indonesia.
Kementerian berkenaan merancang untuk menjemput wakil Apple bagi membincangkan cadangan pelaburan baharu dan jumlah pelaburan yang belum dilaksanakan sebanyak US$10 juta bagi tempoh 2020-2023.
Kerajaan membuka ruang untuk rundingan bagi mencapai persetujuan mengenai pelaburan Apple di negara itu agar produk-produk termasuk siri iPhone 16 dapat memperoleh pensijilan dan dipasarkan secara rasmi di Indonesia, kata Agus.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial