DUNIA > BERITA

WANITA INDONESIA YANG TERLEPAS HUKUMAN MATI DI ARAB SAUDI, PULANG KE TANAH AIR

02/12/2024 07:02 PM

JAKARTA, 2 Dis (Bernama) -- Seorang wanita Indonesia, yang dikenali sebagai HMM, yang ditangkap pada 2009 kerana membunuh suaminya seorang warganegara Arab Saudi dan dijatuhi hukuman mati di bawah undang-undang hadd al-ghilah negara teluk itu telah dihantar pulang dan disatukan semula dengan keluarganya di Indonesia.

Kementerian Luar Indonesia yang memudahkan pembebasan wanita berkenaan berkata selepas bertahun-tahun usaha diplomatik yang diketuai kementerian dan Konsulat Jeneral di Jeddah, hukuman HMM dikurangkan dan dia membayar 400,000 Riyal Saudi dalam bentuk diya (wang darah), yang ditanggung sepenuhnya oleh seorang dermawan Saudi.

Rayuan kes itu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Jeddah dan Mahkamah Agung di Riyadh, yang membawa pengurangan hukuman dan pembayaran diya yang dirundingkan. Setelah menyelesaikan hukuman penjara selama 15 tahun, HMM kembali ke pangkuan keluarganya di Indonesia.

"HMM dihantar pulang ke Indonesia pada 28 November dan pulang ke kampung halamannya di Bangkalan, Jawa Timur, dua hari kemudian," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Konsulat Jeneral di Jeddah memberikan sokongan penting, termasuk lawatan penjara secara berkala, bantuan guaman dan usaha untuk menjadi pengantara dengan keluarga mangsa.

"Konsulat Jeneral di Jeddah memberi bantuan semasa proses siasatan sebanyak enam kali dan sepanjang 13 kali perbicaraan mahkamah HMM," katanya.

Tahun ini sahaja, menurut kementerian itu, ia membantu membebaskan 26 rakyat Indonesia daripada hukuman mati di luar negara, namun bilangan rakyat yang menghadapi nasib yang sama meningkat kepada 155, dengan kebanyakan kes tertumpu di Malaysia.

"Rakyat Indonesia mesti sentiasa mematuhi undang-undang tempatan dan mengelak daripada terbabit dalam aktiviti jenayah, sama ada disengajakan atau tidak sengaja," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan