DUNIA > BERITA

MENTERI HAL EHWAL LUAR INDIA BERTEMU WARTAWAN DIASPORA DI NEW DELHI

04/12/2024 04:26 PM

Daripada N. Sevagamy

NEW DELHI, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Hal Ehwal Luar India Dr S. Jaishankar pada Isnin bertemu dengan 27 wartawan diaspora India dari 11 negara, sebagai sebahagian daripada Know India Programme (KIP) edisi ke-79.

Semasa perjumpaan selama 45 minit itu, Dr Jaishankar bercakap mengenai objektif KIP dan menyerlahkan kemajuan India di bawah kepimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Beliau membicarakan bidang utama seperti transformasi digital India dan peranan penting diaspora India dalam pembangunan budaya dan ekonomi negara itu.

“Diaspora India bukan sekadar jambatan kepada dunia tetapi sebahagian penting dalam kisah pertumbuhan India,” katanya sambil menekankan sumbangan mereka kepada negara tuan rumah serta India.

Para peserta, termasuk dari Malaysia (diwakili Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau Bernama), Mauritius, Singapura, Indonesia, Fiji, Sri Lanka, Kenya dan New Zealand berkongsi perspektif mereka mengenai transformasi India.

Ramai yang menyatakan evolusi negara itu daripada era pasca penjajahan kepada sebuah ekonomi moden yang dinamik.

KIP yang berlangsung dari 25 November hingga 13 Disember, bertujuan untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai warisan dan pencapaian India dalam kalangan diaspora.

Program tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk lawatan kebudayaan dan interaksi dengan penggubal dasar, bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dengan masyarakat India global.

KIP yang dimulakan oleh kerajaan India berfungsi sebagai platform untuk wartawan diaspora merasai sendiri kemajuan India dan meneroka peluang untuk kerjasama dalam sektor media.

Dr Jaishankar, yang pernah melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia pada Mac tahun ini, berkata India menghargai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dan ia mengharapkan hala tuju yang lebih jelas serta hasil yang lebih muktamad daripada perbincangan ASEAN.

Beliau turut menekankan perkongsian warisan budaya dan hubungan sejarah antara India, ASEAN dan Malaysia sambil menekankan keperluan untuk mempromosikan pelancongan yang lebih besar, perjalanan serta interaksi antara rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan