DUNIA > BERITA

KETUA SINDIKET RAKYAT MALAYSIA, ISTERI DITAHAN DALAM KES PENGUBAHAN WANG HARAM 5 BILION BAHT

19/12/2024 03:04 PM

Oleh Wilawan Watcharasakwet

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Polis Thailand percaya mereka telah membanteras sindiket penipuan utama yang melakukan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (100 baht = RM13.02) melalui rangkaian transaksi palsu, susulan penahanan seorang ketua kumpulan rakyat Malaysia dan isterinya yang merupakan warga Thailand.

Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (ECD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB), Pol. Mejar Jeneral Puttidej Bunkrapue berkata pasangan itu adalah suspek utama yang dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram berskala besar.

Beliau berkata lelaki Malaysia berusia 38 tahun itu, yang dikehendaki di bawah waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah, ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkhla ketika dia memasuki Thailand pada 16 Dis dan isterinya dari Thailand, yang juga terlibat dalam skim itu, ditangkap di lokasi berbeza pada 18 Dis.

"Kedua-dua suspek menghadapi tuduhan bersekongkol dalam pengubahan wang haram," kata Puttidej dalam satu kenyataan pada Khamis.

Puttidej berkata kedua-dua suspek mengaku semasa disoal siasat merekrut individu untuk menubuhkan entiti sah terutamanya untuk membuka akaun bank dan akaun ini kemudiannya dijual kepada pelanggan di beberapa negara ASEAN.

Sementara itu, Pol. Kolonel Theeraphas Yungyuen yang mengetuai siasatan, berkata operasi itu adalah rangkaian yang sangat terancang melibatkan warga Thailand dan asing.

"Sindiket itu mengubah wang lebih 5 bilion baht melalui lapisan transaksi penipuan yang kompleks," katanya, sambil menambah lebih 50 waran tangkap telah dikeluarkan kepada individu yang dikaitkan dengan kes itu sejak beberapa bulan lepas.

"Suspek yang ditangkap adalah dalang dalam skim yang canggih. Mereka didakwa mengatur proses pengubahan wang haram dengan memindahkan dana melalui pelbagai akaun bank sebelum menukar wang itu kepada mata wang kripto USDT. Penggunaan aset digital ini merumitkan usaha untuk mengesan dana," tambahnya.

Theeraphas berkata tangkapan itu berikutan aduan daripada ramai mangsa yang diperdaya untuk melabur melalui aplikasi mudah alih palsu, termasuk "Nicshare" dan "ComonApps", yang aplikasi ini secara palsu menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan pasaran saham.

Beliau berkata CIB melancarkan Operation Ghost Company dan mendedahkan lebih 200 shell company (yang wujud secara sah, namun hanyalah di atas kertas) di seluruh Thailand, dengan kebanyakan entiti ini tidak beroperasi tetapi digunakan untuk membuka akaun bank keldai yang memudahkan pengubahan wang haram.

"CIB bertekad untuk menjejaki baki ahli rangkaian jenayah ini dan memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab menubuhkan shell company dan memudahkan pengubahan wang haram didakwa berlandaskan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan