DUNIA > BERITA

FILEM "HOTLINE BEIJING" PAPAR INOVASI CHINA DALAM TADBIR URUS BERTERASKAN RAKYAT

19/12/2024 05:51 PM

Daripada Nursyabiha Sukri

BEIJING, 19 Dis (Bernama) -- Tayangan filem dokumentari “Hotline Beijing” yang menonjolkan tindak balas pantas terhadap aduan awam telah memberi perspektif baharu kepada penonton mengenai tadbir urus berteraskan rakyat dan amalan pengurusan bandar yang inovatif di ibu negara China, Beijing.

Dokumentari berdurasi 90 minit itu ditayangkan pada Selasa sempena Forum Beijing 2024 mengenai Tindak Balas Pantas Terhadap Aduan Awam dan menerima pujian meluas daripada pelbagai lapisan penonton, termasuk delegasi antarabangsa.

Bekas Perdana Menteri Jordan Omar Al-Razzaz memuji pendekatan Beijing, khususnya bagaimana bandar itu berjaya mewujudkan mekanisme yang telus untuk interaksi antara kerajaan dan rakyat.

“Pendekatan ini menggalakkan penglibatan dan semangat dalam tadbir urus bandar,” katanya.

Charlotte Louise Villiers, seorang profesor dan dekan di Sekolah Siswazah Undang-Undang Universiti Bristol, menyifatkan dokumentari itu sebagai mendalam dan menyentuh isu sejagat dengan cara prihatin.

“Satu daripada kisah yang menonjol ialah mengenai warga emas yang mencari lif. Kisah ini menyoroti keperluan pelbagai lapisan komuniti dan mengetengahkan persoalan tentang bagaimana mengimbangi keperluan itu,” katanya.

Filem ini menggambarkan inti pati tadbir urus di sebuah bandar mega, menggabungkan perspektif antarabangsa dengan sentuhan kemanusiaan, sambil menyampaikan nilai teras untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan mencipta kehidupan yang lebih baik.

Pasukan produksi melawat lebih 40 jabatan berkaitan di sembilan daerah Beijing dan menemu bual lebih 100 kakitangan yang terlibat dalam program "Tindak Balas Pantas Terhadap Aduan Awam". Penggambaran mengambil masa 10 bulan untuk disiapkan.

Sejak 2019, Beijing memperkenalkan Talian Hotline 12345, talian perkhidmatan awam 24/7 untuk menangani kebimbangan rakyat.

Filem ini diterbitkan oleh Central Newsreel and Documentary Film Studio (Group) dengan kerjasama Jabatan Organisasi dan Publisiti Jawatankuasa Parti CPC Beijing serta Biro Perkhidmatan Hal Ehwal Kerajaan dan Pentadbiran Data Perbandaran Beijing.

Forum dua hari itu bermula pada Rabu di Pusat Konvensyen Kebangsaan China dengan tema "Memodenkan Tadbir Urus Bandar Berteraskan Rakyat". Forum itu memaparkan penilaian global terhadap perkhidmatan talian hotline bandar, kisah kejayaan tadbir urus dan model tadbir urus bandar yang cemerlang.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Akademi Sains Sosial China, China Media Group (CMG), Jawatankuasa Parti Perbandaran Beijing dan Kerajaan Perbandaran Beijing, dengan mengumpulkan pemimpin global untuk membincangkan strategi memperbaiki tadbir urus bandar dan berkongsi pengalaman dengan bandar di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan