DUNIA > BERITA

INDONESIA UMUM PEMBUBARAN JI DI SOLO, BEKAS ANGGOTA ANGKAT SUMPAH TAAT SETIA

22/12/2024 02:58 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 Dis (Bernama) -- Badan Nasional Anti-Keganasan (BNPT) Indonesia dan Pasukan Khusus 88 Anti-Pengganas (Densus 88) Polis mengadakan deklarasi pembubaran Jemaah Islamiyah (JI) di Solo, Jawa Tengah pada Sabtu (21 Dis).  

Acara itu menandakan aktiviti ke-45 dan terakhir dalam siri program serupa yang diadakan di seluruh negara, kata Pesuruhjaya Jeneral Polis BNPT, Eddy Hartono dalam satu kenyataan.

Bekas anggota JI turut mengangkat Sumpah Taat Setia kepada perpaduan Indonesia sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan prinsip teras negara seperti Pancasila, demokrasi, dan hak asasi manusia.  

Eddy menekankan kepentingan sokongan berterusan kepada bekas anggota JI, termasuk bimbingan, latihan dan aktiviti seperti wawasan kebangsaan dan keusahawanan.  

"Ini akan membolehkan mereka hidup aman dan harmoni dalam masyarakat kita yang berbilang budaya," katanya semasa acara yang diadakan di Dewan Konvensyen, Terminal Tirtonadi. 

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menerima bekas anggota JI, sambil menegaskan kepentingan pendekatan lembut dalam program seumpama itu.  

Deklarasi itu turut disambut baik oleh bekas anggota JI, Siswanto yang menyeru agar semua tindakan ekstremis dihentikan.

Siswanto menjelaskan bahawa proses ini, yang bermula dengan deklarasi pertama pada 30 Jun 2024, kini mencapai aktiviti ke-45, dan berharap ia menjadi langkah terakhir ke arah integrasi penuh dengan negara dan masyarakat, sekali gus menghapuskan ekstremisme.  

“Kami juga berharap mereka yang masih di luar sana akan segera menyedari keperluan untuk bergabung dengan kami,” katanya.  

JI, yang ditubuhkan pada awal 1990-an dengan matlamat mewujudkan ‘negara Islam’ di Asia Tenggara, terkenal kerana terlibat dalam insiden pengeboman maut di Bali pada 12 Okt 2002.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan