DUNIA > BERITA

HONDA, NISSAN SASAR MUKTAMADKAN RUNDINGAN PENGGABUNGAN JUN INI - SUMBER

23/12/2024 11:07 AM

TOKYO, 23 Dis (Bernama-Kyodo) -- Honda Motor Co dan Nissan Motor Co menyasarkan untuk memuktamadkan rundingan penggabungan mereka pada Jun ini, lapor agensi berita Kyodo memetik sumber yang mengetahui perkara itu pada Isnin.

Kedua-dua pembuat kereta utama Jepun itu dijangka mengumumkan permulaan perbincangan mengenai penggabungan berkenaan pada hari ini, yang akan membentuk kumpulan pengeluar kereta ketiga terbesar dunia dari segi jumlah pengeluaran.

Honda dan Nissan, pengeluar kereta kedua dan ketiga terbesar Jepun dari segi jumlah pengeluaran, masing-masing dijangka beroperasi di bawah sebuah syarikat induk, dengan Mitsubishi Motors Corp, rakan kongsi Nissan, turut mempertimbangkan untuk menyertai mereka.

Langkah itu bertujuan meningkatkan daya saing kos dan meneroka pasaran kenderaan elektrik (EV) yang kini dikuasai oleh pesaing dari Amerika Syarikat (AS) dan China.

Honda dan Nissan akan berusaha untuk berkongsi kos pembangunan yang tinggi dan mengurangkan perbelanjaan pengeluaran dengan menggunakan komponen yang sama.

EV merupakan satu daripada segmen paling kritikal untuk pertumbuhan kerana elektrifikasi mengubah landskap industri automotif global. 

Honda dan Nissan bersetuju pada Mac untuk melancarkan kajian kebolehlaksanaan mengenai perkongsian pengeluaran EV strategik, termasuk pembangunan teknologi perisian berkaitan, bagi mengurangkan kos dan meningkatkan daya saing.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan