DUNIA > BERITA

MALAYSIA, BAHRAIN PERKUKUH HUBUNGAN SEMPENA 50 TAHUN HUBUNGAN DIPLOMATIK

23/12/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar kedua-dua negara, Malaysia dan Bahrain berjanji untuk memanfaatkan platform sedia ada seperti Jawatankuasa Tinggi Bersama bagi Kerjasama Dua Hala untuk memperdalam kerjasama, meneroka peluang baharu, menggalakkan inovasi dan menangani cabaran global yang kian muncul.

“Ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik ini merupakan pencapaian bersejarah bagi Bahrain dan Malaysia, sekali gus memberi peluang untuk menzahirkan semula kebanggaan bersama dalam pertumbuhan perkongsian politik, ekonomi dan kerjasama.

“Kedua-dua negara bertekad untuk memperluas hubungan ini demi membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat masing-masing serta memperkukuh peranan penting mereka dalam mempromosikan keselamatan, keamanan dan pembangunan mampan di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Melangkah ke hadapan, Bahrain dan Malaysia komited untuk memperdalam kerjasama dua hala mereka merentasi semua bidang kepentingan bersama untuk membina masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan, seterusnya menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan kedua-dua negara serta rantau yang lebih luas. Mereka turut berharap agar hubungan erat dan kerjasama yang berkesan ini akan terus berlanjutan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu menyebut bahawa Bahrain dan Malaysia terus memperkukuh kerjasama melalui pelaksanaan perjanjian dan memorandum persefahaman yang ditandatangani bagi kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, teknikal, kebudayaan dan saintifik.

“Selain itu, kedua-dua negara terus memajukan aspirasi bersama untuk perkongsian yang lebih mendalam dalam tenaga, perbankan dan kewangan Islam, pembuatan, pengangkutan, pembuatan produk halal, keselamatan makanan, hab logistik, teknologi maklumat dan komunikasi, pelancongan, kebudayaan dan pendidikan, alam sekitar, serta tenaga boleh diperbaharui, antara lain,” tambahnya.

Bahrain dan Malaysia, dua negara bersaudara ini, mengiktiraf kemajuan signifikan yang dicapai dalam sektor politik, ekonomi, kebudayaan dan sosial di bawah kepimpinan bijaksana Raja Hamad bin Isa Al Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Bahrain dan Malaysia menikmati hubungan yang semakin kukuh, ditandai dengan lawatan pertukaran peringkat tinggi antara pemimpin kedua-dua negara yang telah mempereratkan lagi ikatan persahabatan dan persaudaraan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa lawatan khas Raja Hamad ke Malaysia pada 20 Julai tahun ini, bagi menghadiri istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, menekankan kepentingan hubungan ini yang terus kukuh melalui penglibatan rasmi, parlimen dan ekonomi yang berterusan.

Sementara itu, Malaysia dan Bahrain komited untuk memperkukuh kerjasama multilateral antarabangsa melalui peranan aktif mereka dalam organisasi antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut kenyataan bersama itu, Bahrain dan Malaysia berbangga dengan hubungan yang telah lama terjalin serta kerjasama erat antara kepimpinan dan rakyat kedua-dua negara, yang terus berkembang atas dasar kepercayaan, saling menghormati, nilai kemanusiaan dan kepentingan bersama.

Pengukuhan hubungan Malaysia-Bahrain ini dicerminkan melalui beberapa perkembangan utama: penubuhan Jawatankuasa Tinggi Bersama bagi Kerjasama Dua Hala pada 2001, diikuti dengan pembukaan Kedutaan Besar Malaysia di Manama pada 2003, mesyuarat rasmi pertama jawatankuasa itu pada 2013 dan pembukaan Kedutaan Bahrain di Kuala Lumpur pada 2017.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan