DUNIA > BERITA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS AKIBAT PERGOLAKAN DI MOZAMBIQUE - WISMA PUTRA

26/12/2024 12:45 PM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia di Mozambique terjejas akibat pergolakan yang berterusan yang kebanyakannya memberi kesan di kawasan bandar, termasuk ibu negara Maputo, menurut Kementerian Luar Malaysia, Wisma Putra.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Khamis berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, Afrika Selatan sentiasa berhubung dengan 20 rakyat Malaysia yang kini menetap di Mozambique melalui Konsul Kehormat di negara itu.

"Tiada seorang pun rakyat Malaysia di sana yang melaporkan terjejas oleh situasi semasa. Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi terus memantau keadaan di lapangan dengan teliti," menurut Wisma Putra.

Menurut laporan media antarabangsa, rusuhan penjara di Maputo pada Rabu menyebabkan 33 orang maut dan 15 cedera ketika pergolakan awam yang dikaitkan dengan pilihan raya yang dipertikaikan pada Oktober berterusan.

Keputusan pada Isnin oleh mahkamah tertinggi Mozambique yang mengesahkan kemenangan parti pemerintah Frelimo dalam pilihan raya itu telah mencetuskan bantahan baharu di seluruh negara oleh kumpulan pembangkang dan penyokong mereka, yang mendakwa undian itu dimanipulasi.

Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang kini berada di Mozambique atau mereka yang memerlukan bantuan, untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Suruhanjaya Tinggi melalui E-Konsular dan sentiasa berhubung dengan misi itu.

Kenyataan itu turut menasihatkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk pergi ke Mozambique supaya menangguhkan rancangan perjalanan mereka pada masa ini.

"Kementerian tetap komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara dan akan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan," katanya.

Untuk bantuan atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria di alamat No. 1007, Francis Baard Street, Arcadia, Pretoria 0083, melalui telefon: +27 (12) 342 5990 atau e-mel: mwpretoria@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan