Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 27 Dis (Bernama) -- India meratapi pemergian bekas Perdana Menteri Manmohan Singh dengan mengenang legasi beliau dalam mentransformasi ekonomi negara.
Singh, yang meninggal dunia pada usia 92 tahun di New Delhi malam Khamis, merupakan tokoh ekonomi dan pemimpin yang sangat dihormati.
Beliau yang juga anggota komuniti Sikh, pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 10 tahun sehingga Mei 2014, mengetuai kerajaan gabungan pimpinan Parti Kongres.
Mendiang dikejarkan ke Institut Sains Perubatan India (AIIMS) selepas tidak sedarkan diri di rumah.
"Walaupun segala usaha telah dilakukan, beliau tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 9.51 malam," menurut kenyataan hospital.
Rakyat India bersatu memberikan penghormatan kepada beliau, ramai mengenang peranannya sebagai Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1996 ketika beliau melaksanakan reformasi ekonomi yang mengubah landskap kewangan negara.
Sebelum Singh membentangkan ucapan belanjawannya di Parlimen pada Julai 1991, India berdepan krisis imbangan pembayaran yang tidak menentu sehingga terpaksa menghantar hampir 50 tan emas ke luar negara untuk meningkatkan pertukaran asing.
Reformasi yang diperkenalkan oleh Singh diiktiraf sebagai pemangkin pemulihan ekonomi negara, membawa kepada era baharu integrasi India dalam ekonomi global.
Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan Singh sebagai seorang daripada pemimpin paling cemerlang dalam sejarah India.
"Bangkit dari latar belakang yang sederhana, beliau menjadi seorang ahli ekonomi yang dihormati. Beliau meninggalkan kesan mendalam terhadap dasar ekonomi negara selama beberapa dekad. Sebagai Perdana Menteri, beliau berusaha keras meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.
Ketua Pembangkang di Parlimen India, Rahul Gandhi berkata mendiang memimpin India dengan "kebijaksanaan dan integriti luar biasa."
"Saya kehilangan seorang mentor dan pembimbing. Jutaan orang yang mengagumi beliau akan terus mengingatinya dengan penuh kebanggaan," katanya.
Singh, yang menjadi anggota Dewan Negara (Rajya Sabha) selama 33 tahun sejak 1991, dilahirkan pada 26 Sept 1932 di kampung Gah, Chakwal, yang kini terletak di Pakistan.
Selepas pembahagian benua kecil India pada 1947, keluarga Singh berpindah ke Amritsar, Punjab di India.
Walaupun fasih berbahasa Hindi, teks ucapannya sering ditulis dalam aksara Urdu kerana penguasaannya dalam bahasa berkenaan.
Beliau memperoleh ijazah dalam bidang ekonomi pada 1957 dari Universiti Cambridge dan doktor falsafah dalam bidang yang sama dari Kolej Nuffield, Universiti Oxford pada 1962.
Singh juga pernah mengajar di universiti dan memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan, termasuk sebagai Gabenor Bank Rizab India.
Beliau juga dikenang kerana mencapai perjanjian kerjasama nuklear awam dengan Amerika Syarikat pada 2008, yang membuka jalan memperkukuh hubungan ketenteraan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
Dikenali sebagai seorang intelektual dengan tutur kata yang lembut, Singh dihormati merentasi sempadan politik.
"Beliau seorang ahli ekonomi cemerlang dan seorang rakan sekerja yang saya hormati. Sejarah akan mengenangnya sebagai individu yang mengubah hala tuju ekonomi India," kata bekas Perdana Menteri H.D. Deve Gowda.
Mendiang turut dikenali dengan permohonan maafnya secara terbuka kepada komuniti Sikh atas insiden rusuhan anti-Sikh pada 1984.
"Saya memohon maaf bukan hanya kepada komuniti Sikh, tetapi kepada seluruh rakyat India kerana kejadian itu adalah satu penafian terhadap konsep kenegaraan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kita," katanya di Parlimen pada 2005.
Manmohan Singh meninggalkan legasi sebagai tokoh yang berjaya mengemudi India dengan menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dalam tempoh yang mencabar.
Mendiang meninggalkan seorang balu, Gursharan Kaur dan tiga anak perempuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial