DUNIA > BERITA

MALAYSIA GARISKAN VISI KEPENGERUSIAN ASEAN 2025 DALAM PERSIDANGAN DI TEHRAN

30/12/2024 10:58 AM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Kedutaan Malaysia di Tehran, dengan kerjasama Institut Kajian Politik dan Antarabangsa Iran (IPIS) menganjurkan persidangan peringkat tinggi pada Ahad yang memfokuskan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025. 

Acara itu menyerlahkan visi Malaysia yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global, dengan memberi penekanan kepada hubungan antara ASEAN dan Iran yang berkembang serta potensi kerjasama yang lebih mendalam. 

Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar dalam ucapan alu-aluan menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan sepanjang tempoh kepengerusiannya.

Beliau turut menggariskan kepentingan strategik peranan ASEAN sebagai model kestabilan dan kerjasama serantau. 

“Kepimpinan Malaysia pada 2025 bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Komuniti ASEAN, menawarkan peluang tepat pada masanya bagi memperkukuh komitmen terhadap nilai-nilai yang mendefinisikan rantau kita. 

“Tumpuan kami terhadap keterangkuman dan kemampanan memastikan usaha pembinaan komuniti ASEAN selari dengan aspirasi rakyat sambil mendepani cabaran kompleks masa kini,” kata Khairi. 

Beliau juga menekankan kepentingan meneruskan momentum yang terhasil daripada persidangan itu. 

“Dialog ini mencerminkan kekuatan kerjasama berasaskan saling hormat-menghormati dan aspirasi bersama. Malaysia berbesar hati untuk memimpin ASEAN pada 2025 dan komited memastikan jawatan sebagai pengerusi dapat memperkukuh hubungan kerjasama dalam ASEAN dan dengan rakan kongsi bernilai seperti Iran,” katanya. 

Persidangan yang dihadiri diplomat, penggubal dasar dan sarjana terkemuka itu menonjolkan peranan lebih luas ASEAN sebagai platform berkecuali, dialog dan kerjasama dalam dunia yang semakin kompleks. 

Timbalan Pengarah IPIS, Dr Khalil Shirgholami, dalam ucapannya menekankan peranan penting ASEAN dalam susunan global yang berkembang serta kepentingan kerjasama antara wilayah. 

“Kita sedang menyaksikan satu daripada tempoh transformasi paling besar dalam sejarah manusia, di mana Asia Timur dan Asia Tenggara, bersama Asia Barat boleh memainkan peranan penting dalam membentuk sistem global yang lebih inklusif dan multipolar. 

"Model serantau ASEAN adalah contoh bernilai bagaimana integrasi dan kerjasama dapat memberi manfaat kepada wilayah lain,” katanya. 

Beliau juga menekankan bahawa tradisi dinamik dan nilai bersama antara Asia Barat dan Asia Tenggara menawarkan potensi besar untuk persefahaman dan kerjasama, khususnya dalam memupuk sinergi budaya dan ekonomi. 

Sementara itu, Duta Iran ke ASEAN Mohammad Boroujerdi memuji visi Malaysia untuk ASEAN dan optimis mengenai kerjasama yang lebih erat semasa kepimpinan Malaysia. 

Beliau turut menyoroti hubungan erat antara Iran dan ASEAN, termasuk penyertaan Iran dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara sebagai pencapaian penting dalam kerjasama mereka. 

“Iran melihat potensi besar dalam perkongsian dengan ASEAN dan kami percaya kepimpinan berwawasan Malaysia akan merapatkan hubungan antara rantau kita.

"Tema keterangkuman dan kemampanan sangat selaras dengan matlamat bersama kita,” kata Boroujerdi. 

Menurut kenyataan itu, Panel Politik-Keselamatan bertajuk “Enhancing Regional Stability: Opportunities for Iran-ASEAN Collaboration on Peace and Security Challenges,” meneliti pendekatan pragmatik ASEAN dalam menangani ketegangan geopolitik serta menonjolkan sumbangan berpotensi Iran terhadap kestabilan serantau. 

Panel Ekonomi, “Expanding Trade Routes: Leveraging ASEAN and Iran’s Strategic Locations for Economic Growth,” menekankan kepentingan strategik pasaran dinamik ASEAN dan kedudukan geografi Iran, sambil mengenal pasti peluang perdagangan, hubungan dan inovasi. 

Panel Sosio-Budaya, “ASEAN and Iran: Fostering Social Inclusion and Cultural Diversity,” meneroka nilai budaya yang dikongsi, serta menekankan kepentingan kerjasama akademik, pelancongan dan pemeliharaan warisan sebagai landasan untuk memperkukuh hubungan antara rakyat. 

Persidangan itu juga menggariskan kepentingan memanfaatkan kerangka kerja serantau seperti ASEAN-Indian Ocean Rim Association (IORA) dan ASEAN-Economic Cooperation Organisation (ECO) untuk mencapai matlamat bersama. 

Sementara itu, perbincangan mengenai diplomasi budaya dan sinergi ekonomi mencerminkan komitmen bersama dalam mewujudkan kerjasama yang bermakna. 

Dengan pengaruhnya yang semakin meningkat, ASEAN kekal sebagai daya penggerak penting untuk kestabilan, kemakmuran dan kekayaan budaya serantau, menurut kenyataan itu. 

Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan selaku Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025. 

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. 

-- BERNAMA  

 

TAG: ASEAN, Iran, Malaysia, serantau, budaya


RMI VMP TFTY


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan