DUNIA > BERITA

MALAYSIA, UZBEKISTAN DALAM PROSES MENYELARAS PERJANJIAN PERSEFAHAMAN - DUTA BESAR

01/01/2025 02:28 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Uzbekistan kini dalam proses menyelaras perjanjian persefahaman hasil lawatan  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara  berkenaan Mei lepas, kata Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan, Ilham Tuah Illias. 

Beliau berkata antara perkara yang  disenaraikan dalam perjanjian persefahaman itu ialah sistem kewangan Islam, industri ekosistem halal dan peningkatan perdagangan dengan negara Asia Tengah itu.

"Melalui perjanjian yang diwujudkan diharap lebih banyak barangan dan perkhidmatan Malaysia boleh dibawa masuk ke Uzbekistan.

Dalam aspek kepakaran, Uzbekistan berminat untuk belajar dari Malaysia kemahiran menghasilkan pelbagai corak produk emas bagi perhiasan diri," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut Ilham Tuah lawatan rasmi tiga hari Anwar ke Uzbekistan telah membuka banyak ruang kerjasama dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan sekali gus membolehkan tindakan susulan bagi perjanjian persefahaman.

Lawatan Anwar pada Mei diikuti lawatan rasmi Menteri Luar Uzbekistan Bakhtiyor Saidov  ke Malaysia pada Julai, katanya.

Menyentuh eksport minyak sawit ke Uzbekistan, beliau berhasrat untuk memastikan produk berkenaan diberi kelonggaran dari segi cukai di masa akan datang.

Menurut Ilham Tuah industri perusahaan di Uzbekistan yang sedang berkembang pesat selepas 31 tahun bebas dari Kesatuan Sosialis Soviet boleh menggunakan minyak sawit keluaran Malaysia untuk menghasilkan pelbagai produk seperti makanan dan barangan kosmetik.

Katanya masa depan negara di Asia Tengah agak cerah dan Malaysia harus merebut peluang untuk meneroka pelbagai peluang kerjasama dengan rantau ini.

Mengulas mengenai hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan pada masa ini, Ilham Tuah berkata ia berada pada tahap paling baik kini dan perkembangan itu dapat dilihat menerusi delegasi Malaysia yang dijemput untuk menjadi pemerhati antarabangsa pilihan raya Uzbekistan pada 27 Okt lalu.

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 juga akan memangkinkan kerjasama antara Asia Tengah dan Asia Tenggara, katanya.

Laporan sebelum ini menyebut Uzbekistan merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah pada 2023, dengan jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan mencecah RM451.1 juta (US$100 juta).

Menyentuh mengenai hubungan rakyat antara Malaysia dan Uzbekistan, Ilham Tuah berkata pada masa ini terdapat 200 pelajar Uzbekistan di Malaysia.

Sementara itu pada 2023,  2,000 rakyat Uzbekistan melawat Malaysia.

Minat masyarakat Malaysia untuk melawat Uzbekistan semakin meningkat terutamanya di destinasi berkaitan sejarah Islam seperti makam imam Bukhari di Samarkand dan makam imam Tarmizi berhampiran sempadan Uzbekistan-Afghanistan, katanya. 

Sementara itu sumber dari Kedutaan Uzbekistan di Malaysia memaklumkan pada 2024 bagi  tempoh Januari hingga Oktober jumlah rakyat Uzbekistan yang melawat Malaysia meningkat kepada 13,000.

Sebahagian besar daripada mereka melawat pulau yang terdapat di Malaysia terutamanya Langkawi memandangkan Uzbekistan tidak mempunyai pantai, kata sumber itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan