DUNIA > BERITA

XI SAMPAIKAN PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2025

01/01/2025 02:58 PM

BEIJING, 1 Jan (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping telah menyampaikan perutusan tahun baharu menerusi pelbagai platform di bawah Kumpulan Media China (CMG) di sini pada malam terakhir sebelum ketibaan tahun 2025.

Beliau terlebih dahulu membuat kesimpulan terhadap 2024 yang disifatkannya luar biasa, baik dari segi China mahupun dunia dan menzahirkan harapan agar negara itu diberikan keberkatan rezeki  serta menyambut tahun baharu dalam suasana gembira.

Xi menggunakan ungkapan "kita bersama-sama berjalan dalam tempoh empat musim, mengalami cuaca angin dan hujan dan akhirnya dapat menyaksikan keindahan pelangi" untuk menggambarkan 2024 yang sukar dilupakan dan luar biasa.

Xi memilih tiga perangkaan untuk menunjukkan pencapaian China dalam tempoh setahun lepas.

Pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur akan melebihi RMB130 trilion (RM80 trilion) yang membuktikan ekonomi domestik kian pulih dan mantap. Kedua, jumlah pengeluaran bijirin telah melepasi paras 700 bilion kilogram, menandakan kemandirian China dalam bidang pembekalan bijirin dan terakhir, China buat pertama kali merekodkan pengeluaran tahunan kenderaan elektrik bateri (BEV) mencecah paras lebih 10 juta unit yang turut merancakkan landskap industri yang beraneka ragam.

Ketika mengimbau kembali tinjauan beliau di serata China tahun lepas, Xi gembira melihat perubahan positif dalam kehidupan rakyat di peringkat akar umbi. Menurut Xi, yang paling penting adalah memastikan rakyat boleh hidup sejahtera.

Menyentuh tentang situasi antarabangsa, Xi berkata China bersedia memikul tanggungjawab sebagai kuasa besar, mendorong reformasi tadbir urus global dan memperhalusi pelaksanaan projek kerjasama Selatan Global.

Menurut Presiden Xi, China berusaha memperhebat pembinaan yang berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) selain menganjurkan Sidang kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika dengan jayanya. China juga tegas menyuarakan pendirian dan memberi sumbangan besar untuk keamanan serta kestabilan dunia melalui rundingan bilateral dan multilateral.

Xi pada masa sama menjangka prospek 2025 penuh dengan keyakinan. Menurut beliau, China akan melengkapkan matlamat dalam Rancangan Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan Lima Tahun ke-14, manakala modenisasi ala China pasti akan mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Selain itu, China akan terus berusaha untuk memperbaiki tadbir urus sosial, mewujudkan suasana harmoni, menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi rakyat, tidak mengira sama ada kecil atau besar.

"Kita komited membawa lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat yang boleh meningkatkan keterujaan mereka ", kata Xi.

"Tatkala dunia mengalami pergolakan dan perubahan besar dalam seratus tahun lalu, kita perlu bersikap terbuka bagi mendepani perbezaan dan konflik, serta mempunyai minda terbuka dalam membela nasib manusia sejagat.

"China bersedia bekerjasama dengan  negara lain untuk mengeratkan persahabatan, mendorong pertukaran tamadun dan membina komuniti berkongsi nasib sesama insan untuk masa depan yang lebih indah," kata Xi.

--BERNAMA-CMG 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan