LONDON, 5 Jan (Bernama-PA Media/dpa) -- Perlawanan di gelanggang sendiri Liverpool menentang Manchester United pada Ahad akan berlangsung seperti yang dijadualkan, lapor PA Media/dpa.
Salji lebat yang turun sepanjang malam di Merseyside dan barat laut England menyukarkan keadaan jalan raya bagi perjalanan penyokong kedua-dua pasukan, sekali gus membangkitkan kemungkinan perlawanan itu ditangguhkan.
Kumpulan Penasihat Keselamatan Majlis Bandar Raya Liverpool mengadakan dua mesyuarat pada Ahad berhubung kebimbangan mengenai akses ke Anfield, namun perlawanan itu – satu daripada aksi terbesar dalam bola sepak England – akan bermula seperti dijadualkan pada pukul 4.30 petang GMT.
"Perlawanan hari ini menentang Manchester United akan diteruskan seperti yang dirancang," menurut kenyataan kelab pendahulu liga itu di akaun rasmi Xnya.
"Dua mesyuarat keselamatan telah diadakan lebih awal untuk menilai keadaan cuaca dan perjalanan.
Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memastikan perlawanan ini dapat diteruskan hari ini. Jika anda dalam perjalanan ke Anfield, sila berhati-hati. Kami tidak sabar untuk melihat anda di sana," katanya.
Bulan lepas, perlawanan derby Merseyside antara Everton dan Liverpool di Goodison Park terpaksa ditangguhkan atas sebab keselamatan.
Ketika itu, angin kencang menyebabkan gangguan perjalanan yang serius di dalam dan sekitar bandar.
--BERNAMA-PA MEDIA/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial