WASHINGTON, 13 Jan (Bernama-dpa) - Hampir semua sekolah awam di kawasan Los Angeles akan dibuka semula pada Isnin, walaupun anggota bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran besar yang telah meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa dan memusnahkan lebih 12,000 struktur, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Daerah Sekolah Bersepadu Los Angeles, antara yang terbesar di Amerika Syarikat, berkata lewat Ahad bahawa hanya tujuh daripada 1,302 sekolahnya akan kekal ditutup.
Empat daripadanya musnah akibat kebakaran Palisades yang berlaku di sebelah barat Los Angeles. Tiga sekolah lain berada di zon pemindahan.
"Keadaan telah bertambah baik untuk sebahagian besar kawasan di seluruh wilayah Los Angeles dan pihak daerah itu yakin ia selamat untuk pelajar dan pekerja kembali ke kampus," menurut satu kenyataan.
Keputusan itu mengambil kira status pengawalan kebakaran, kualiti udara, keadaan angin dan status penutupan jalan.
Sementara itu, universiti negeri di Los Angeles menawarkan pengajaran secara dalam talian.
Anggota bomba sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan tiupan angin yang lebih kuat dalam beberapa hari akan datang, yang dijangka memburukkan lagi keadaan bencana alam yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai antara yang terburuk dalam sejarah AS.
Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (Cal Fire) memberi amaran mengenai "cuaca kebakaran kritikal" hingga Rabu.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial