DUNIA > BERITA

PENYIASAT AS GUNA AI KESAN PENJENAYAH, HINGGA TERSALAH TAHAN INDIVIDU TIDAK BERSALAH

14/01/2025 03:08 PM

MOSCOW, 14 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat (AS) menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) sebagai jalan pintas untuk mencari dan menahan suspek tanpa bukti lain, sambil mengabaikan petunjuk yang jelas, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Akhbar Washington Post pada Isnin melaporkan bahawa 15 jabatan polis di 12 negeri telah menahan suspek yang dikenal pasti oleh algoritma AI tanpa sebarang bukti bebas yang mengaitkan mereka dengan jenayah itu, sambil menambah bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang dalam kebanyakan kes bertindak bercanggah dengan polisi dalaman mereka sendiri yang memerlukan pegawai polis menyokong sebarang bukti yang diperoleh melalui AI.

Menurut siasatan Washington Post, sekurang-kurangnya lapan individu telah tersalah tahan oleh penyiasat AS menggunakan teknologi pengecaman wajah. Dalam beberapa kes, polis tidak menyemak alibi suspek atau kenyataan saksi palsu dan dalam kes lain, mereka mengabaikan cap jari serta jejak DNA yang menunjukkan orang lain sebagai pelaku, menurut laporan itu.

Laporan itu turut menyatakan bahawa penyiasat tidak mengambil kira perbezaan jelas dalam rupa penjenayah yang dirakam oleh kamera pengawasan dan suspek yang dikenal pasti oleh AI. Satu daripada kes membabitkan seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditahan kerana dituduh melakukan rompakan kereta, walaupun tiada bukti menunjukkan bahawa penjenayah sebenar sedang hamil.

Skala sebenar masalah ini mungkin jauh lebih besar, menurut akhbar itu, yang menambah bahawa penyiasat AS tidak diwajibkan secara undang-undang untuk menyediakan data mengenai penggunaan pengecaman wajah berasaskan AI.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan