Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan Thailand menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang tadbir urus digital bagi meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand Prasert Jantararuangtong berkata Thailand berhasrat untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN bagi meningkatkan tahap hidup di rantau ini.
“Kerajaan Malaysia berjaya melaksanakan inisiatif kerajaan digital, terutamanya dalam bidang pendigitalan kerajaan dan teknologi awan. Kami ingin bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor ini untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Thailand,” kata Prasert semasa pertemuan dua hala dengan Menteri Digital Malaysia Gobind Singh Deo.
Pertemuan dua hala itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-5 yang diadakan di sini pada Khamis.
Beliau juga memuji kemajuan Malaysia dalam beberapa bidang, termasuk projek digital atau bandar pintar, keselamatan siber, permainan dan animasi, serta ekosistem 'startup' atau industri pemula.
Sementara itu, Prasert menekankan kepentingan ADGMIN sebagai peluang untuk Thailand menunjukkan keupayaan digital dan kepimpinannya dalam ASEAN.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur digital dan memupuk inovasi adalah penting bagi meningkatkan daya saing Thailand.
“Thailand akan mendapat manfaat besar daripada mesyuarat ini, termasuk memupuk kerjasama digital dengan negara anggota ASEAN dan rakan dialog, bertukar pengetahuan dan teknologi, mempromosikan ekonomi digital, serta meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan rakyat Thailand,” katanya.
Beliau berkata mengukuhkan keselamatan siber dan melindungi data peribadi kekal sebagai keutamaan kerana ia penting untuk membina keyakinan pelabur dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Terdahulu, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra merasmikan majlis pembukaan Mesyuarat Menteri Digital ASEAN ke-5 yang berlangsung di Bangkok pada Khamis.
Acara dihadiri oleh wakil 10 negara anggota ASEAN, rakan dialog utama seperti China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, India, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), serta wakil dari Timor-Leste dengan lebih 300 peserta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial