DUNIA > BERITA

MALAYSIA-KEMBOJA IKRAR PERKUKUH AIPA UNTUK PERPADUAN SERANTAU

17/01/2025 01:03 AM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 16 Jan (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tiba di ibu negara Kemboja pada Khamis untuk memupuk penglibatan lebih mendalam dengan negara itu menjelang Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang akan diadakan di Malaysia.

Beliau mengetuai delegasi untuk menjemput rakan sejawatannya dari Kemboja, Presiden Perhimpunan Kebangsaan Khuon Sudary bagi menghadiri Perhimpunan Agung AIPA pada September ini serta menyokong transformasi ASEAN menjadi sebuah blok yang dinamik.

“Dunia kini sedang menghadapi pelbagai cabaran dengan konflik di Ukraine, Timur Tengah dan isu-isu di Eropah dan Amerika. Namun, ASEAN kekal sebagai rantau yang stabil.

“Kami komited untuk memelihara kestabilan ini dan memastikan ASEAN terus berkembang maju sebagai satu daripada rantau paling dinamik dan makmur di dunia,” kata Johari dalam ucapan perasmian selepas majlis mengalu-alukan delegasi Malaysia di Perhimpunan Kebangsaan hari ini.

Sambil menyifatkan ASEAN sebagai rantau yang dinamik dan berpotensi besar, Johari menggesa Kemboja untuk bekerjasama dengan Malaysia, yang mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan Permukiman Menteri Luar ASEAN yang dijadual bermula di Langkawi Sabtu ini.

AIPA, sebuah pertubuhan parlimen serantau yang ditubuhkan pada September 1977, memainkan peranan penting dalam melibatkan penggubal undang-undang Asia Tenggara untuk menentukan hala tuju dasar untuk pembangunan objektif AIPA dan sebagai forum untuk bertukar-tukar idea dalam kalangan ahli.

“AIPA adalah mengenai berkongsi pengetahuan dan pengalaman untuk menjayakan sesuatu. Semua faktor ekonomi menunjukkan bahawa abad ini adalah abad ASEAN, dan kita harus merealisasikannya,” kata Johari.

Dalam ucapannya kepada delegasi yang melawat, Sudary memberi jaminan sokongan padu Kemboja kepada Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk membawa lebih banyak keamanan dan kestabilan ke rantau ini.

“Kemboja mengucapkan tahniah dan menyokong Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan serta Perhimpunan Agung AIPA ke-46.

“Kemboja bersedia mengambil bahagian dalam (usaha ini). Saya percaya dengan kepimpinan yang kukuh, kita boleh mencapai kejayaan besar, pemusatan ASEAN, keamanan, keterangkuman dan kemampanan,” katanya.

Johari, yang juga Presiden AIPA ke-46 sedang dalam misi jelajah ke negara anggota ASEAN untuk mendapatkan sokongan dalam memperkukuh AIPA melalui penglibatan dengan negara anggota menjelang perhimpunan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan