DUNIA > BERITA

CHINA, FILIPINA TERUSKAN RUNDINGAN MENGENAI ISU LAUT CHINA SELATAN

17/01/2025 02:40 PM

XIAMEN (CHINA), 17 Jan (Bernama-CMG) -- China membidas tindakan Filipina di Laut China Selatan (LCS) baru-baru ini yang disifatkan melanggar kedaulatannya dan bersifat provokatif dalam pertikaian maritim antara kedua-dua negara di perairan itu.

China juga menggesa Filipina mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC), mengadakan dialog dan rundingan dengan China untuk menangani pertikaian secara berhemah. Kedua-dua negara diseru bekerjasama mengawal situasi maritim untuk memulihkan hubungan dua hala seawal mungkin.

Perkara itu dinyatakan wakil China dalam mesyuarat kesepuluh di bawah mekanisme perundingan bilateral (BCM) berhubung isu Laut China Selatan di sini pada Khamis.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Naib Menteri Luar China, Chen Xiaodong dan rakan sejawatnya dari Filipina, Theresa Lazaro.

Selain menekankan peri pentingnya memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, yang bermanfaat bagi negara serantau termasuk Filipina, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan secara ikhlas dan konstruktif.

Kedua-dua pihak juga bersetuju meningkatkan dialog dan komunikasi mengenai isu maritim, menyelesaikan perselisihan dengan berhemah dan menggalakkan kerjasama yang melibatkan pasukan pengawal pantai, sains teknologi dan perlindungan alam sekitar di laut.

--BERNAMA-CMG 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan